Prof Dr Bilal Philips (dua dari kiri) menandatangani buku pelawat di Kampus KUIPs Kuala Perlis.
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bersedia menawarkan biasiswa kepada pelajar daripada International Open University (IOU) Gambia.
Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, universiti ini bersedia menawarkan biasiswa kepada pelajar terbaik daripada IOU selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency atau MQA).
“Penawaran biasiswa untuk pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) ini akan dipilih oleh IOU dalam kalangan pelajar terbaik untuk menyambung pengajian mereka di KUIPs nanti,” ujar beliau ketika ditemui selepas menerima kunjung hormat daripada Canselor dan pengasas IOU, Prof Dr Bilal Philips di Kampus KUIPs Kuala Perlis pada 30 Januari 2024.
Tokoh ilmuwan dan pendidikan ini mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala antara KUIPs dan IOU dalam perbincangan untuk Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang membabitkan kedua-dua universiti ini.
Terdahulu, Dr Philips mendengar taklimat mengenai kampus KUIPs sebelum menerangkan mengenai kampus IOU.
Moga dengan pertemuan ini akan memberikan manfaat kepada kedua-dua institusi pendidikan ini.
Prof Dr Muhamad Rozaimi (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Dr. Bilal Philips.
IOU adalah gagasan daripada Dr. Bilal Philips yang menawarkan program sarjana dan pascasarjana secara online yang terakreditasi penuh secara intensif.
Perjalanan IOU dimulai pada tahun 2007 dengan peluncuran kursus diploma online secara percuma di Kampus Terbukanya.
Selain itu, IOU adalah Pusat Menghafal Al-Qur’an pelajar dari di seluruh dunia untuk belajar al-Qur’an secara online. - KitaReporters/KUIPs
Delegasi IOU dan KUIPs bergambar kenangan.