BUKU terbitan Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, kian mendapat pengiktirafan negara China apabila tiga bukunya berjaya tersenarai dalam katalog 50 Best Malaysian Titles for International Rights Edisi 2023/2024.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pengiktirafan berkenaan diterima oleh UPSI sempena Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) ke-30 yang berlangsung di Malaysia Pavilion, China National Convention Centre (CNCC) dan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who.
Lebih membanggakan, katanya, Penerbit turut mencipta rekod baharu apabila 11 buku berjaya terpilih dalam senarai 200 Judul Bagi Perolehan Perpustakaan Projek Khas China 2024 yang dikelolakan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB).
Menurutnya, tiga buku terbabit adalah Countering the Western Canon - Other Ways Of Knowing About Journalism And Media, Wayang Kulit Kelantan Evolusi Bentuk Gumbalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi serta buku Asas Kemahiran Jawi Evolusi Tulisan Jawi dan Seni Khat.
Eksekutif Pemasaran, China National Publication Import and Export Shenzhen Co. Ltd, Lai Hongshuang (duduk tengah) turut meraikan kejayaan Penerbit UPSI.
Tambahnya, buku Countering the Western Canon - Other Ways Of
Knowing About Journalism And Media tulisan Ahmad Murad Merican. Buku itu
mewakili pembabitan beliau dalam epistemologi, sejarah, budaya dan perspekstif
kemasyarakatan dalam dunia kewartawanan dan media.
Buku Wayang Kulit Kelantan Evolusi Bentuk Gumbalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi pula adalah buku yang diterjemahkan daripada hasil penyelidikan dan pengalaman penulis, Dr Fara Dayana Mohd Jufry sebagai pengamal daripada generasi keempat Dalang tersohor negeri Kelantan, Mamat Semail. Buku berkenaan dihasilkan berdasarkan latar belakang setiap watak dengan menampilkan imej wajib dalam rekaan gambalan.
Jelas beliau, walau bagaimanapun, reka bentuk dan reka corak
gambalan mempunyai perubahan dari semasa ke semasa dan ia menghuraikan
perkembangan reka bentuk gambalan yang dapat dilihat melalui tiga koleksi dari
fasa yang berbeza.
“Manakala Asas Kemahiran Jawi, Evolusi Tulisan Jawi dan Seni Khat adalah karya Makmur Harun dan Nur Faaizah Md Adam mengupas berkaitan sejarahnya, serta memuatkan kaedah mempelajari dan menguasai tulisan jawi dan khat melalui cara mempraktikkan dengan betul selain turut menyediakan latih tubi untuk menulis dan membunyikannya secara betul,” ujarnya.
Dr Nordiana Hamzah (kanan) bersama Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan) Pejabat Karang Mengarang (Penerbit UPSI), Dr Laili Farhana Ibrahim memegang buku yang mendapat pendapat pengiktirafan di Beijing International Book Fair 2024, Beijing.
Sementara itu, menurut Pengarah Penerbitnya, Dr Nordiana Hamzah, 11 buku yang berjaya terpilih untuk 200 Judul Bagi Perolehan Perpustakaan Projek Khas China adalah daripada empat buku bahasa Inggeris iaitu Early Childhood Curriculum, Integrated Classical Guitar Method: Accelerated Learning for beginners, Countering the Western Canon dan Dewa Pechil A Mak Yong Tale Told By Ali Ibrahim.
Menurut beliau, selain itu buku bahasa Melayu iaitu Arkeopelancongan di Malaysia Antara Prospek Dan Cabaran, Naratif Filem: Satu Pengenalan, Penyelidikan Itu Mudah - Panduan Penyelidikan Bahasa Dalam Pendidikan, Pedagogi dalam Pendidikan Jasmani Berasaskan Stail Pengajaran, Media Pendidikan Kajian & Reka Bentuk Berpusatkan Pelajar, Kepimpinan dan Pengurusan Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Wayang Kulit Kelantan Evolusi Reka Bentuk Gambalan Seri Rama, Rawana dan Siti Dewi.
Jelasnya, semua judul yang terpilih itu sudah dibawa ke Beijing International Book Fair (BIBF) 2024 yang disertai 1,600 pempamer dari 71 negara berlangsung pada 19 hingga 23 Jun 2024 di Beijing dan dipamerkan di ruangan Perolehan Perpustakaan.
Tambahnya lagi, Perolehan Perpustakaan Projek Khas China yang diwujudkan itu memberi peluang untuk UPSI meneruskan usaha dalam mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan buku berkenaan di kedai buku UPSI.
“Penerbit juga mengucapkan tahniah kepada semua penulis buku yang terpilih dan kami juga akan mempergiat usaha menghantar sebanyak mungkin penyertaan dalam pelbagai pertandingan yang relevan pada pelbagai peringkat bagi memberi nilai tambah kepada buku terbitan UPSI selain meningkatkan semangat penulis untuk menghasilkan karya yang berkualiti,” katanya.
Dr Nordiana berharap kepada yang berminat mendapatkan buku-buku itu boleh berkunjung ke kedai buku UPSI yang terletak di aras bawah Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI atau menerusi laman e-dagang rasmi PKM di Shoppe, Lazada dan Youbeli. - KitaReporters