SERAMAI 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra bernasib baik apabila dipilih menyertai program "Ignite The Future: Fun Exploration of TVET and STEM".
Program anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah diadakan di Dewan SMK Tanjung Pauh, Jitra, Kedah.
Pengarah Programnya, Ts. Nurhani Zulkifli berkata, sekaligus ia akan dapat mendorong pelajar meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Di samping itu katanya, pelajar juga dapat memperluaskan pengetahuan tentang cabaran dan peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelasnya, dari program yang diatur ini dilihat mampu memberikan ruang lebih luas bagi pelajar untuk memahami, menghargai dan melibatkan diri dalam pembangunan kemahiran teknikal yang kritis bagi pembangunan ekonomi negara.
Selain itu, katanya, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai konsep dan aplikasi STEM melalui slot "Exploring Rapid Prototyping and Soccer Robot".
Malah katanya, program ini bertujuan untuk membantu pelajar memperoleh kemahiran pratikal dan analitikal dalam domain STEM melalui penyertaan dalam aktiviti yang telah dirancang untuk menggalak pemecahan masalah, kreativiti dan kerjasama berpasukan.
Di samping itu kata Nurhani lagi, ia dapat membudayakan inovasi dan penciptaan dan mendorong pelajar untuk membangunkan projek-projek yang berpaksikan STEM.
Sementara itu, Penolong Kanan Ko-Kurikulum SMK Tanjung Pauh, Aktar Mirza Ramli merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak POLIMAS di atas penganjuran program seperti ini.
Beliau berkata, program ini telah membuka minda pelajar bahawa betapa menariknya bidang-bidang TVET yang ditawarkan di politeknik yang harus dipelajari mereka.
"Semoga dengan program seperti ini yang sering dianjurkan di sekolah-sekolah akan menarik lebih ramai lagi para pelajar untuk meyambung pengajian ke politeknik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutupan program.
Pelajar SMK Tanjung Pauh, Nurin Syafiqa Rafizam yang ditemui berkata, dia berminat dengan operasi mesin "printing 3D" yang telah ditunjukkan oleh pelajar POLIMAS.
"Jika berpeluang mengunakan mesin tersebut, saya bebas mereka bentuk apa saja yang diinginkan," ujarnya.
Pelajar ini berazam untuk menyambung pengajian di POLIMAS supaya dapat mempelajari cara menggunakannya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Dani Suhaimi berkata, dia sangat berminat dengan "robot soccer" yang dikawal melalui telefon pintar.
Beliau berharap dapat mempelajarinya dengan lebih mendalam apabila menyambung pelajaran ke POLIMAS nanti. - KitaReporters