Kampus & Pendidikan 07 Nov, 2024

Do the right thing, in the right way! Tip kejayaan Idham Nawawi jadi CEO! Dilantik CEO@Faculty di UMT!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Idham Nawawi (kiri) hadir pada Syarahan Awam Kebitaraan Mahasiswa yang berlangsung di kampus UMT.


Dato' Idham Nawawi, seorang anak jati Kampung Tanjung Bunut, Kuala Terengganu berjaya membuktikan bahawa asal usul bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan. 

Dari seorang anak kampung yang membesar di persekitaran sederhana, beliau kini berada di puncak kejayaan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi. 

Kisah inspirasi ini menjadi bukti bahawa dengan usaha dan kesungguhan, setiap individu mampu menempah kejayaan, meskipun bermula dari bawah.

Perjalanan Idham dalam bidang akademik bermula di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 

Selepas itu, beliau berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang Kejuruteraan di University of Rochester, Amerika Syarikat dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang komunikasi dari University of Strathclyde, Glasgow. 

Kerjaya Idham yang cemerlang dalam pelbagai syarikat multinasional telah membentuk dirinya sebagai tokoh yang berpengalaman dalam dunia korporat global. 

Dengan ketekunan dan keazaman tinggi, beliau akhirnya dilantik sebagai CEO CelcomDigi, satu pencapaian yang menjadi inspirasi bagi golongan muda, khususnya mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT).



Sebagai CEO@Faculty di UMT, Idham baru-baru ini berkongsi pengalaman dan nasihat berharga kepada para mahasiswa UMT sempena Syarahan Awam Kebitaraan Mahasiswa yang berlangsung di kampus UMT. 

Dalam syarahan penuh inspirasi itu, beliau menggesa para mahasiswa untuk melangkah berani dalam membina kerjaya, tanpa mengira latar belakang atau bidang pengajian semata-mata. 

Beliau menekankan pentingnya melakukan perkara yang betul dengan cara yang tepat. “Do the right thing, in the right way,” katanya penuh makna. 

Bagi beliau, ramai individu melakukan perkara yang betul tetapi dengan cara yang kurang tepat, justeru hasilnya tidak sebaik yang diharapkan.

Idham juga mengingatkan mahasiswa agar sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang baharu. 

Menurut beliau, setiap cabaran yang dihadapi adalah peluang untuk membina potensi diri. 

Beliau turut berkongsi pengalamannya bekerja dalam pelbagai sektor korporat di dalam dan luar negara, yang menurutnya memberikan perspektif berharga serta kepelbagaian pengalaman.

Selain itu, dalam nada yang lebih santai, beliau turut menyarankan agar mahasiswa memperkaya diri dengan bacaan pelbagai genre, termasuk fiksyen dan sains fiksyen. 

“Bahan bacaan yang beraneka ini dapat mencetuskan kreativiti dan pemikiran kritis dan ia sesuatu yang penting dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media


15
21
0
15
0
You will be interested