Universiti Multimedia (MMU) memperkukuhkan lagi reputasi dalam arena sukan antarabangsa apabila atlet-atletnya yang mewakili Malaysia telah menggondol 10 pingat termasuk 5 emas untuk negara pada ASEAN University Games (Sukan Universiti ASEAN atau AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand dari 26 Julai hingga 6 Ogos 2022.
Pencapaian yang diraih itu mencipta satu lagi kejayaan buat MMU bagi membantu Malaysia muncul di tempat kedua apabila memenangi 182 pingat manakala Thailand muncul juara dengan 212 pingat.
Daripada 182 pingat yang diperoleh Malaysia, secara keseluruhannya, atlet-atlet MMU menyumbang sebanyak 5 emas, 4 perak dan 1 gangsa untuk tanah air. Sebanyak 11 negara ASEAN menyertai kejohanan sukan berkenaan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kejohanan-kejohanan
Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su’ud (dua dari kiri) mengucapkan tahniah sambil memegang pingat yang dimenangi atlet MMU (dari kiri) Chua Jia Tien, Tai Chuan Zhe dan Christy Teh Xing Ti, yang memenangi pingat untuk Malaysia di ASEAN University Games 2022. Mereka beramah mesra semasa Majlis Pelepasan Kontinjen MMU untuk atlet MMU di MMU Cyberjaya pada 10 Ogos 2022.
Dua pingat emas dirangkul oleh Tan Li Ting, pelajar Fakulti Pengurusan (FOM) dalam acara Catur (Wanita-Individu) dan Catur (Wanita-kumpulan), manakala Chua Jia Tien, pelajar Fakulti Undang-Undang (FOL) memenangi pingat emas dalam Catur (Wanita-pasukan). Jia Tien turut memenangi pingat perak untuk kategori Catur (Wanita-individu).
Pelajar Fakulti Sains Informasi dan Teknologi (FIST), Low Zheng Yong, juga meraih pingat emas menerusi acara Renang Lelaki 400m Gaya Bebas, dan Tai Chuan Zhe, dari Fakulti Perniagaan (FOB) membawa pulang pingat emas dalam Badminton (Lelaki-pasukan) dan pingat gangsa dalam Badminton (Lelaki-individu).
Selain itu, tiga lagi pingat gangsa dibolot oleh Christy Teh Xing Ti, pelajar FOL dalam acara Renang 4x100m (Wanita-gaya
bebas); Muhamad Aliff Mohamad Muhazni, pelajar FOM dalam bola sepak; dan Wee Yong
Gan, pelajar FIST dalam acara Bola Keranjang.
Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud melahirkan rasa gembira dan teruja dengan perkembangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai kesinambungan daripada kejayaan-kejayaan para pelajar MMU dalam bidang kesukanan.
“Kejayaan-kejayaan ini membuktikan kerja keras atlet-atlet MMU. Mereka dibantu oleh Jabatan Pengalaman dan Gayahidup Pelajar (STyLE) dan juga disokong oleh persekitaran seperti ahli keluarga, kawan-kawan dan jurulatih,” katanya pada Majlis Pelepasan Kontijen Atlet MMU di Kampus MMU Cyberjaya, Selangor pada Rabu, 10 Ogos 2022.
Pelepasan itu adalah sebagai memulakan perjalanan kontinjen untuk menyertai Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak mulai 10 hingga 21 Ogos 2022.
Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su’ud melepaskan rombongan kontinjen atlet MMU yang akan penyertai SUKIPT.
Prof. Mazliham berkata, pencapaian atlet-atlet MMU dalam AUG 2022, mencerminkan fokus universiti dalam melahirkan bukan sahaja siswazah yang cemerlang dalam bidang pelajaran tetapi juga aktiviti ko-kurikulum.
“MMU sentiasa memberi penekanan yang tinggi dalam kecemerlangan sukan sejak permulaan universiti ini ditubuhkan. Dengan hala tuju itu, atlet-atlet kami telah mencapai banyak kejayaan di pelbagai pertandingan sukan kebangsaan atau antarabangsa,” tambahnya.
Beliau berkata, “Saya percaya dengan kemudahan, persiapan dan perancangan teliti, MMU akan dapat melahirkan lebih ramai atlet yang mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang sukan pada masa depan.”
Sementara itu, Prof. Mazliham menasihatkan kontinjen MMU ke SUKIPT agar mencontohi semangat dan kejayaan yang dicapai oleh atlet-atlet MMU dalam AUG 2022.
“Jagalah nama baik universiti dan bertarunglah dengan minda positif terhadap kemenangan untuk membawa pulang pingat untuk universiti. Saya yakin setiap atlet MMU akan memberikan aksi terbaik untuk mengharumkan nama MMU,” katanya.
Sebanyak 66 institusi pengajian tinggi dengan 4,000 atlet seluruh Malaysia mengambil bahagian dalam SUKIPT.
Daripada jumlah itu, seramai 65 atlet adalah daripada MMU yang bertanding dalam 10 acara iaitu badminton, squash, karate, taekwando, catur, bola lisut, ragbi, golf, renang dan memanah. - KitaReporters/MMU