BERTEMAKAN “Mencetus Pembangunan Mahasiswa Gemilang”, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2021/2022 menganjurkan Karnival Siswa (KARSIS 22) bertempat di pekarangan Dewan Tuanku Canselor baru-baru ini.
Bagi menyemarakkan suasana kampus dan merapatkan ukhwah
antara mahasiswa-mahasiswi yang telah kembali ke kampus untuk proses
Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara fizikal sepenuhnya, karnival ini
bertujuan untuk memperkenalkan barisan-barisan kepimpinan MPP dan badan-badan
pelajar USIM terutamanya kepada mahasiswa baharu Sesi Akademik 2022/2023.
Selain itu, ia juga bagi melahirkan generasi mahasiswa yang membudayakan kegiatan berpersatuan menerusi penglibatan diri dalam aktiviti kokurikulum, dan memenuhi kriteria aktif dalam aktiviti kepimpinan dan keusahawanan di bawah elemen holistik bagi Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USIM
Menurut penyelaras program Mohd Fazhiruddin Kamaruddin, sebanyak 26 reruai dari Badan Persatuan Pelajar telah menyertai karnival ini.
Antaranya Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM), Kelab Nadi Thaqafah, International Students Association (INSAN), Kelab Sahabat Kembara Ilmu (SKIL), Kelab Debat dan Kelab Pengurusan Persembahan Seni.
Sementara itu, saudari Iffah Amirah Jamarluddin, Naib Yang
Dipertua 1 MPP merangkap Pengarah program berkata, salah satu kelainan yang
ditonjolkan pada penganjuran KARSIS 22 kali ini adalah setiap badan pelajar
diwajibkan terlibat di gerai-gerai pameran untuk mengadakan aktiviti interaktif
khusus bagi memeriahkan suasana selain merapatkan ukhwah di kalangan kepimpinan
pelajar bersama para pengunjung KARSIS 22.
“Saya berharap program ini berpotensi untuk menjayakan
hasrat universiti ke arah melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bersaing
memburu kecemerlangan akademik, bahkan memberikan dorongan berkesan kepada
mahasiswa untuk meningkatkan nilai tambah dalam konteks kemahiran insaniah dalam kalangan mereka”, ujarnya lagi.
Turut hadir berkunjung ke karnival, Naib Canselor Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Sharaani bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Md Ishah Rahman. - KitaReporters/USIM