Kampus & Pendidikan 03 May, 2025

Berjaya berkat hafaz al-Quran! Pelajar Maahad Tahfiz Turath Pahang lulus cemerlang 8A+ SPM 2024!

@dsa wahab
Memulakan kerjaya sebagai wartawan sepenuh masa di bahagian majalah Karangkraf, kemudian ke akhbar cabaran Sinar Harian sebelum menjadi wartawan sambilan di Utusan Malaysia. Apapun sekali saya menulis, selamanya tetap menulis...

Share this


Tumpuan dan fokus menghafaz 30 juzuk al-Quran tidak membataskan pelajar kohort pertama dari Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) mendapat pencapaian yang terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Berkat dalam menghafal al-Quran, dua daripada pelajar institut pembelajaran tersebut berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A+ dalam lapan pelajaran yang diambil oleh mereka.

Masing-masing mendapat A+ dalam semua subjek termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Usul Al-Din, Al-Syariah dan Al-Lughah Al'Arabiah Al-'Mu'asirah. 

Muhammad Zaki Zainal Abidin, 18, dan Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin, 18, percaya bahawa penguasaan akademik mampu diperolehi seiring dengan komitmen yang tinggi terhadap pembacaan al-Quran.


Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin (kiri) bersama Muhammad Zaki Zainal Abidin (kanan) menunjukkan keputusan SPM yang cemerlang diperoleh mereka.


Bagi Muhammad Zaki , menghafaz al-Quran menjadi pendorong yang utama bagi memantapkan lagi daya usaha dalam setiap pembelajarannya.

Anak kelima daripada lapan orang adik-beradik itu juga percaya kecemerlangan diperolehnya itu antaranya adalah daripada berkatnya menghafaz al-Quran itu sendiri.

"Dalam pembelajaran, saya menetapkan masa untuk mengulang menghafaz al-Quran… bukan sahaja untuk menguatkan ingatan bahkan untuk menenangkan hati.

“Saya percaya sebab apabila menduduki SPM kita pastinya akan rasa berdebar-debar ataupun tidak tenteram.

“Dengan mengulang-ulang membaca al-Quran saya bukan sahaja dapat menguatkan hafalan malah menenangkan hati ketika menduduki peperiksaan,” katanya ketika ditemui.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaki turut mengakui berdepan cabaran berikutan tiada rujukan terdahulu untuk dijadikan contoh berikutan merupakan kumpulan pertama bagi MTTNP.

Jelasnya, namun begitu tidak menjadi penghalang untuknya untuk menguruskan cara pembelajarannya apabila mengambil kesempatan belajar secara berkumpulan dengan pelajar-pelajar MTTNP yang lain.

“Tidak hanya belajar secara bersendirian… selepas tamat waktu hafazan dan baca al-Quran pada sebelah malam saya juga belajar bersama pelajar lain kerana setiap orang ada kelebihan masing-masing.

“Dengan itu juga, saya berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran sepanjang tempoh berada bermula dari tingkatan satu hingga tamat di tingkatan lima,” katanya yang berasal dari Bentong.



Dalam pada itu, seorang lagi pelajar Ahmad Rafiq Mohd Shaikhudin, berkata, memberi perhatian sepenuhnya kepada guru yang mengajar di dalam kelas menjadi keutamaanya.

Katanya, ini kerana setiap malam dia lebih banyak memperuntuk masa untuk mengaji berbanding belajar.

“Ada orang sanggup belajar sampai lewat tengah malam, tapi keesokannya mengantuk. Kebiasaannya saya tidak mengulangkaji pada sebelah malam… kalau ada masa saya lebih banyak mengulang-ulang mengaji terlebih dahulu.

“Saya memberikan sepenuhnya fokus di dalam kelas. Bagi saya, kalau dalam kelas tu, fahamkan betul-betul. Selagi tak faham, bertanyalah sehingga faham dan barulah sambung pembelajaran seterunya. 

"Oleh yang demikian, kalau kita simpan sikit demi sikit, sampai kesudah kita tak akan faham. Sebab pelajaran tu berkait dan bersambung-sambung.

“Selepas kelas saya terus membuat latihan dan siapkan kerja-kerja sekolah yang diberikan guru sebagai proses mengulang kaji pelajaran tersebut,” katanya.

Kedua-dua pelajar tersebut diberitahu menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Maghribi dan mendalami pengajian berkaitan al-Quran. - KitaReporters

15
10
0
14
0
You will be interested