Kampus & Pendidikan 15 Jun, 2025

Perkasa mutu latihan, pendidikan! Pengecualian bayar levi selama setahun! Mulai 1 Januari 2026! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pemerkasaan mutu latihan dan pendidikan, kerajaan Malaysia Madani mengumumkan pengecualian pembayaran levi selama setahun kepada semua institusi pendidikan dan latihan dari prasekolah hingga pendidikan tinggi, bermula 1 Januari 2026. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bukan sahaja mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tetapi juga insan yang punyai jati diri, cinta kepada budaya, sejarah dan bangsa. 

"Sebab itu saya tekankan bahawa pembangunan negara mesti mengakar ke bumi sambil terus menggapai ke langit," ujar beliau ketika merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (NTW 2025) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025.



Katanya, NTW 2025 satu inisiatif penting untuk memperkasa pembangunan modal insan dan masa depan tenaga kerja negara.

"Saya tegaskan bahawa kita tidak boleh lagi kekal dengan sistem dan pendekatan latihan lama tatkala perkembangan dunia menuntut perubahan menyeluruh terhadap landskap latihan negara, termasuk dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharu dan semikonduktor," jelas Perdana Menteri.

Dalam sektor strategik seperti semikonduktor dan AI, ujar beliau, Malaysia telah menjadi antara hab utama di rantau ini. 

"Pelaburan berskala besar oleh syarikat gergasi seperti Infineon memerlukan puluhan ribu tenaga mahir dan jurutera, justeru kita harus utamakan latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling)," tambahnya.

Perdana Menteri memberitahu, ketika ini permohonan pelajar termasuk yang mencatat keputusan cemerlang ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melonjak, membuktikan perubahan tanggapan masyarakat terhadap pendidikan teknikal.



"Di samping latihan, saya tegaskan bahawa kadar upah mesti seiring dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti. Ini selaras dengan keputusan Kerajaan Madani yang meluluskan pelarasan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah. 

"Syarikat-syarikat swasta, khususnya yang mencatat keuntungan ratusan juta ringgit, juga wajar menunaikan tanggungjawab yang adil kepada para pekerja mereka," tegas Anwar.

"Insya-Allah, selagi cita-cita untuk memperkukuh masa depan anak-anak Malaysia kekal utuh, Kerajaan Madani akan terus berusaha menyediakan peluang, ruang dan laluan yang terbaik untuk mereka mara ke hadapan," kata beliau lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
13
0
8
0
You will be interested