Kampus & Pendidikan 29 Oct, 2025

Sulam jiwa khidmat komuniti! Tajong Karang Living Lab Universiti-Komuniti! Program SULAM FPP UiTM!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), pada 25 Oktober 2025, melancarkan Program SULAM FPP @ Tanjong Karang, bersempena Hari Keusahawanan Sekolah dan Sukan Rakyat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 9, Jalan Bomba, Tanjong Karang.



Majlis peluncuran ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, sekolah dan komuniti setempat, sejajar dengan hasrat menjadikan Tanjong Karang sebagai contoh model universiti untuk masyarakat.

Program ini telah dirasmikan oleh Mohd Tirmidzy Che Mat, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor. 

Turut hadir Dr. Dol Basar Kasan, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor; Profesor Ts. Dr. Shafinar Ismail, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM; Mohd Zakir Masdar, Guru Besar SK Batu 9 Jalan Bomba; serta Mas’ud Mansor, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kajang.

Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menghubungkan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat. 

Melalui pendekatan ini, pelajar universiti mengaplikasikan ilmu dan kemahiran mereka dalam konteks sebenar komuniti bagi memberi impak sosial dan ekonomi yang positif.

Pelaksanaan SULAM di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan diharapkan menjadikan Tanjong Karang sebagai “Living Lab” Universiti-Komuniti -- makmal hidup yang menggabungkan pelajar, pensyarah dan komuniti dalam merancang serta melaksanakan projek berteraskan keusahawanan, kemasyarakatan dan pembangunan mampan.



Menurut Profesor Ts. Dr. Shafinar, pelaksanaan SULAM di Tanjong Karang adalah usaha memperkukuh kolaborasi jangka panjang antara universiti dan masyarakat setempat.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam bilik kuliah kepada situasi sebenar masyarakat, sekali gus membentuk graduan yang holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat,” jelas beliau.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Tirmidzy menzahirkan penghargaan kepada UiTM dan semua pihak yang terlibat atas usaha memperkukuh jaringan universiti-komuniti di daerah Kuala Selangor.

“Usaha seperti ini bukan sahaja memperkasa komuniti melalui ilmu dan kemahiran, tetapi juga membina generasi pelajar yang memahami realiti masyarakat. 

"Ia seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan, ilmu dan perpaduan,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif seperti ini dapat diperluas ke lebih banyak kawasan lain di daerah Kuala Selangor, sekali gus memperkukuh potensi pelajar universiti sebagai ejen perubahan masyarakat dan pemangkin kemajuan tempatan.



Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pameran keusahawanan pelajar, permainan rakyat dan sukan komuniti. 

Program yang dihadiri lebih 170 peserta ini menghimpunkan pegawai kerajaan, pelajar, guru, pensyarah dan komuniti setempat dalam suasana penuh semangat dan kekitaan.

Majlis Peluncuran SULAM FPP @ Tanjong Karang menjadi simbol permulaan kepada kolaborasi berterusan antara universiti dan masyarakat tempatan juga simbol sinergi universiti-sekolah-komuniti.

Ini tentunya selaras dengan aspirasi UiTM untuk terus menjadi institusi pendidikan unggul yang memacu pembangunan sosial, ekonomi dan komuniti. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
9
0
15
0
You will be interested