Kampus & Pendidikan 11 Jun, 2024

Lahirkan graduan Pendidikan Islam berkualiti, berilmu! UPSI dan Darul Quran Singapura meterai MoU!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Darul Quran Singapura pada 29 Mei 2024 bagi program pesisir antarabangsa yang pertama di UPSI bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam).

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Darul Quran Singapura itu menyaksikan institusi itu diwakili Pengerusi Eksekutif Kanan, Azman Mohd Ariffin dan Bendahari, Azmi Abdul Rahim, manakala mewakili UPSI ialah Penasihat Undang-Undang, Salwati Mohd Aris serta Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU itu ialah anggota delegasi UPSI yang terdiri daripada Prof Madya Dr Husna Husain, Prof Madya Dr Abd Rahman Abd Ghani, Ustaz Ah-Luqman Al-Hakim Che Zahari, Prof Madya Dr Ridzwan Che Ros dan Sasigaran Moneyam.


Dr Nor Kalsum Mohd Isa (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Azman Mohd Ariffin (dua dari kiri) dengan Salwati Mohd Aris pada 29 Mei 2024.


Salwati berkata, usaha berkenaan adalah sebagai langkah mengukuhkan hubungan lanjutan daripada kerjasama yang sedia ada antara UPSI dan Darul Quran Singapura selama ini. 

“Kepercayaan besar dan pengiktirafan yang diberikan oleh Darul Quran Singapura ini diharapkan akan menaikkan nama baik UPSI serta mampu menyebarkan ilmu dan maklumat berkaitan Pendidikan Islam dengan lebih luas lagi,” katanya.

Menurutnya, program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) adalah antara program yang sangat dikenali dan diperlukan oleh ramai pihak khususnya di Malaysia berikutan program yang bermula pada tahun 2007 itu berjaya menghasilkan ratusan graduan berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di Malaysia. 

Tambahnya, dengan termeterainya perjanjian itu diharapkan berjaya menghasilkan graduan yang memiliki kualiti dan ilmu yang cemerlang serta mampu menyumbang ke arah Pendidikan Islam di Singapura nanti.


Barisan delegasi UPSI bersama wakil dari Darul Quran Singapura merakamkan kenangan.


“Melalui MoU ini, UPSI mampu memberikan khidmat pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran yang terbaik kepada bakal graduan yang dihasilkan, khususnya dalam bidang Pendidikan Islam.

“MoU terbabit antara lain bakal merancakkan bidang kerjasama dengan Darul Quran Singapura dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar serta bengkel, program pertukaran pensyarah, aktiviti dalam bidang akademik dan kemasyarakatan untuk kepentingan bersama yang akan memberikan manfaat kepada staf serta kakitangan kedua-dua institusi ini,” ujar Salwati lagi.

Sementara itu, Dr Nor Kalsum melahirkan rasa syukur atas termeterainya MoU sebagai hasil kerjasama dan komitmen yang tinggi antara semua warga fakulti serta sokongan kuat daripada pengurusan tertinggi universiti di bawah pimpinan Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. - KitaReporters

16
12
0
10
0
You will be interested