UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) akan menganjurkan anugerah kewartawanan bagi mengiktiraf karya-karya kewartawanan staf dan pelajar kampus ini.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata penganjuran ini diharap dapat mengiktiraf karya-karya kewartawanan berkait rapat dengan pendidikan, alam sekitar, kisah insan, kepimpinan, aktiviti pelajar, kecemerlangan universiti dan lain-lain.
“Saya melihat hasil program seperti seminar, bengkel, akitiviti, hasil penyelidikan yang dilaporkan melalui penulisan, video dan laporan perlu diberi pengiktirafan bukan sahaja kepada penganjur program malah kepada mereka yang bertindak sebagai wartawan, jurugambar dan juruvideo,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Bengkel Mobile Journalist (Mojo) anjuran Unit Komunikasi Korporat (Corporate Comm) UUM dan KitaReporters dengan kerjasama Unit Latihan Jabatan Pendaftar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dr Haim Hilman
Dr Haim Hilman Abdullah
Katanya dengan penyertaan staf dan pelajar dibengkel seperti ini memberi panduan dan bimbingan agar mereka dapat menghasilkan berita dan video mengikut etika kewartawanan.
Prof Dr Haim Hilman yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor (VC) UUM juga menambah dengan jalinan hubungan ini memungkinkan Inapan Siswa (Inasis), persatuan dan kesatuan menganjurkannya pula dengan sekolah-sekolah angkat di negeri Kedah nanti.
Sementara itu Editor KitaReporters Gamal Nasir Mohd Ali (gambar atas) ketika berucap pada majlis itu melahirkan penghargaan kepada UUM kerana bersedia bekerjasama dengan KitaReporters sekali gus bersetuju untuk penganjuran anugerah kewartawanan yang dilihamkan oleh Prof Dr Haim Hilman.
Katanya universiti ini adalah yang pertama mereka kunjungi dan bersetuju untuk melancarkan Kelab Mojo KitaReporters Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam masa terdekat.
“KitaReporters bersedia untuk memberi bimbingan dalam bentuk penulisan, mengambil gambar dan menghasilkan video kepada mereka yang menjadi ahli kelab ini nanti,” ujarnya lagi.
Bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli pula layak menerima sijil, kad keahlian dan hasil penulisan, gambar dan video pula akan diterbitkan dalam KitaReporters nanti. Manakala bagi penganjuran untuk anugerah kewartawanan itu pihaknya bersedia bekerjasama.
Lebih 40 staf dan pelajar di UUM Sintok ini menyertai Bengkel Mojo KitaReporters yang diadakan di Dewan Pusat Islam UUM. - KitaReporters