Kampus & Pendidikan 01 Oct, 2019

GRADUAN OKU BUKTIKAN KECACATAN BUKAN PENGHALANG

@sahbulah mohamad darwi
Pernah berkhidmat selama 13 tahun dengan akhbar arus perdana tempatan sebagai wartawan dan Ketua Biro. Kini bertugas sebagai pengurus dalam bidang industri media.

Share this
"KALAU manusia tanpa tangan dan kaki pun boleh berjaya, maka apa alasan saya yang mempunyai dua belah tangan, untuk tidak berjaya," kata Adi Zikri Che Ali, 30.

Adi Zikri Che Ali 


Beliau adalah salah seorang daripada tiga graduan orang kurang upaya (OKU) yang berjaya membuktikan bahawa kecacatan fizikal tidak menghalang mereka daripada menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Adi Zikri Che Ali, 30, graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Pemasaran) berkata: 

“Sumber inspirasi saya ialah Nick Vujicic, seorang pakar motivasi antarabangsa yang dilahirkan tanpa tangan dan kaki, kalau beliau tanpa tangan dan kaki boleh berjaya pada peringkat dunia, maka apa alasan saya untuk tidak berjaya.”  

Anak kepada seorang pesara tentera. Adi Zikri berkata, kekurangan diri tidak pernah melemahkan semangatnya sebaliknya ia menjadi motivasi untuk membuktikan bahawa dia boleh berjaya sebagaimana insan normal lain. 

“Dorongan ahli keluarga terutama ayah yang sentiasa percaya bahawa saya boleh berjaya seperti anak-anak lain tiada beza, " jelas  anak kedua daripada enam beradik dari Pekan, Pahang ini.

engenai rancangan masa depannya, beliau bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sarjana dan seterusnya bekerja untuk menampung keluarga.

Adi Zikri dan dua lagi graduan OKU, Ratheka Mariappan, 27, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kewangan; dan Wang Jia Xin, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, masing-masing menerima skrol mereka daripada Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi dan Pro-Canselornya, Profesor Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid pada majlis yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini.

Prof. Tan Sri Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq (kanan) bermesra dengan graduan OKU, Adi Zikri Che Ali (duduk, kiri) dan Wang Jia Xin (duduk, kanan) bersama keluarga mereka di Majlis Konvokesyen di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.


Ratheka, yang dibesarkan oleh ibu tunggal, Parameswari Mutha Ragappan memberitahu, masalah pekak dan bisu yang dihadapinya bukan penghalang kerana ia membentuk sikapnya untuk sentiasa berusaha lebih gigih dan memberi tumpuan dalam sesuatu pekerjaan jika mahu menempah kejayaan.

Ratheka Mariappan (kiri) meraikan kejayaan bersama ibunya, Parameswari Mutha Ragappan di Majlis Konvokesyen di Cyberjaya, baru-baru ini.


 “Semasa di dalam kelas, saya terpaksa berkomunikasi dengan pensyarah dan rakan menggunakan kertas dan pen selain terpaksa bergantung kepada paparan slaid. 

"Namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana orang di sekeliling saya selalu memberi sokongan, bantuan dan memahami keadaan saya,” katanya yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor dan kini bekerja sebagai pegawai di Kementerian Belia dan Sukan.

Jia Xin pula memberitahu, dia dedikasikan kejayaannya kepada ahli keluarga, para pensyarah dan rakan yang sentiasa memberi sokongan dalam saat suka dan duka mengharungi pengajian. 

Wang Jia Xin 


“Saya amat berterima kasih kerana Fakulti Perniagaan telah membenarkan saya memilih sendiri jadual kelas dan pensyarah serta turut mengubah lokasi kelas untuk memudahkan pergerakan saya,” katanya yang menghidap Cerebral Palsy sejak kecil.

Nasihat beliau kepada insan sepertinya ialah: 

“Walaupun seluruh dunia memandang kekurangan anda tetapi anda tetap perlu terus sentiasa percaya kepada diri sendiri bahawa anda boleh melakukannya dengan terbaik. Ini kerana setiap awan hitam terdapat garisan sinar cahaya.”

 Sementara itu, seramai 3,509 graduan menerima ijazah masing-masing termasuk 34 graduan pada peringkat doktor falsafah, diikuti 114 penerima ijazah sarjana, 2,732 orang graduan sarjana muda dan 629 penerima diploma pada majlis konvokesyen tersebut. 

0
0
0
0
0
You will be interested