Kampus & Pendidikan 08 Jul, 2025

UIS sasar jadi universiti wakaf pertama Malaysia! Kerjasama dengan Al-Azhar! Lancar Wakaf Universiti!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Universiti Al-Azhar, contoh Universiti Wakaf pertama di dunia.


UNIVERSITI Al-Azhar (UAA) ditubuhkan pada 970 Masihi oleh kerajaan Fatimiyah. Melalui Wakaf Pendidikan, universiti itu menyediakan biasiswa, makanan, tempat tinggal, dan perbelanjaan pengajian untuk pelajar tempatan serta antarabangsa.

UAA juga menyokong pembangunan fakulti, penyelidikan, dan percetakan buku-buku rujukan. 

Wakaf Al-Azhar bukan hanya harta tanah seperti ladang dan rumah sewa tetapi dalam bentuk emas, perak, hasil pertanian, dan sumber dagangan. Pengurusan Masjid Al-Azhar turut berfungsi sebagai pusat pengajian dengan menyediakan tempat ibadah dan kuliah percuma kepada masyarakat umum.

Melalui wakaf ekonomi pula, hasil ladang, bangunan komersial, dan aset wakaf digunakan untuk menjana pendapatan berterusan bagi universiti. 

Sistem wakaf menjadikan Al-Azhar bebas daripada tekanan politik dan ekonomi malah memberi peluang pendidikan percuma atau subsidi kepada ribuan pelajar dari pelbagai negara.


Universiti Islam Selangor mempunyai aspirasi dan cita-cita menjadi Universiti Wakaf pertama di Malaysia.


Tidak hairanlah ia menjadi model kepada institusi pendidikan Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, Indonesia, dan Turki. Banyak universiti dan kerajaan Islam kini cuba menghidupkan semula model wakaf pendidikan seperti Al-Azhar.

Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, UIS juga mempunyai aspirasi dan cita-cita menjadi Universiti Wakaf pertama di Malaysia.

Ia bagi menyokong titah Sultan Selangor yang mempunyai semangat agar UIS menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor dan Malaysia. Ia menjadi legasi pendidikan baginda yang mahu universiti itu berperanan melahirkan dai, ulama dan umarak.

"Justeru, Majlis Prapelancaran Wakaf Universiti yang disempurnakan pada 28 Februari 2025 lalu di Auditorium Adnan Isman UIS, bertujuan mempersiap usaha menyediakan dana wakaf bagi kelestarian pendidikan dan kebajikan ummah 

"Peringkat awal ialah membentuk tabung wakaf melalui Yayasan Wakaf UIS secara berkekalan sekali gus menyokong pembangunan pendidikan tanpa bergantung kepada yuran pelajar atau geran luar.



Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah

"Majlis Pra‑Pelancaran itu menandakan permulaan fasa penting dalam memperkukuh kelestarian kewangan UIS melalui wakaf, sekali gus menjadikannya model pendidikan Islam yang beretika, berwawasan, dan berdaya tahan," katanya.

Beliau mengakui usaha menjadi Universiti Wakaf adalah proses yang panjang, justeru UIS bekerjasama dengan UAA di Mesir, beberapa universiti di Turki dan Maghribi untuk melihat bagaimana mereka melakukan pendekatan dan kaedah wakaf.

"Melalui kerjasama itu, kami akan menetapkan satu konsep, DNA atau reka bentuk yang bersesuaian selari dengan kemampuan dan hasrat UIS ke arah Universiti Wakaf.

"Kami juga membina pelan strategik Universiti Wakaf 2030 malah menyediakan dokumen berkaitannya selain bekerjasama dengan Perbadanan Wakaf Selangor dan agensi-agensi lain di dalam dan luar negara dengan hasrat merealisasikan perkara itu," katanya.  


Masjid Al-Azhar di Mesir.


Apa yang UIS harapkan pada peringkat awal, katanya, ialah wakaf tunai supaya ia boleh disalurkan ke Yayasan UIS untuk dijana bagi manfaat pelajar.

"Tapi, disebabkan perkara ini masih baharu, ia akan mengambil sedikit masa tapi UIS sudah mendapat surat pengecualian cukai bagi yayasan sekali gus membantu pihak berkenaan mempromosi Universiti Wakaf," katanya.

Sementara itu, setakat 1998 hingga 2024, jumlah pelajar yang dihasilkan UIS termasuk majlis konvokesyen ke-27 pertengahan Julai 2025 ialah seramai 1,528 graduan.

"Untuk kemasukan sesi Julai 2025, kami menerima 822 pelajar baharu dan jumlah itu dijangka meningkat berikutan  pendaftaran masih dibuka sehingga 25 Julai 2025.

"Ini membuktikan masyarakat menerima baik kursus dan pengajian yang UIS sediakan malah maklum balas ibu bapa mereka suka konsep universiti itu menyediakan bilik kuliah dan asrama secara berdekatan, selesa dan memudahkan anak-anak mereka selain selamat kerana mudah dikawal.


Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Naib Canselor Maldives National University (MNU), Dr. Aishath Shehnaaz Adam (dua dari kanan).


"Kami mempunyai asrama yang boleh menampung sehingga 10,000 pelajar pelajar. Malah, UIS mengutamakan tahap penguasaan al-Quran pelajar islam. Ini satu nilai tambah kepada pelajar bagi memastikan mereka mempunyai ilmu dunia dan akhirat apabila graduasi nanti," katanya.

Dr Farid berkata, UIS juga menyediakan mata pelajaran pilihan seperti al-Quran dan al-Hadis selain subjek syariah supaya mereka tidak tertinggal dari aspek pengasuhan jiwa sebagai seorang Muslim.

"Kami mahu melahirkan pelajar "excellent with a soul" atau "kecemerlangan yang terasuh jiwa" supaya mereka memiliki nilai-nilai positif di dalam masyarakat.

"UIS  juga mesra kepada bukan Islam, bermaksud ia bukan universiti yang eksklusif untuk pelajar Islam semata-mata. Baru-baru ini kami menerima tiga pelajar bukan Islam dari Sabah, Dan, saya berharap jumlah itu akan meningkat pada masa depan," katanya lagi. - KitaReporters


9
6
0
13
0
You will be interested