Kampus & Pendidikan 08 Jul, 2025

Bentuk pendidik berjiwa insani! Mahasiswa UPSI santuni warga emas! Titian Hikmah Pendidik Insani!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Peserta program menyantuni warga emas dengan bertanya khabar.


Tahsin solat dan zikir antara aktiviti utama 42 mahasiswa dari Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak yang menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Warga Tua SRA, Taman Warisan, Kuala Selangor.

Mahasiswa berkenan memberi bimbingan kepada warga emas di pusat jagaan itu dalam program Titian Hikmah Pendidik Insani @ Warga Emas yang diadakan pada 25 Mei 2025.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) fakulti itu, Prof Madya Dr Abdul Hadi Borham, berkata program khidmat komuniti berkenaan merupakan sebahagian daripada kursus Dakwah dan Pendidikan (HID 3013) bagi pelajar semester 4 sesi 2024/2025. 

Menurutnya, ia bertujuan untuk mengaplikasikan ilmu dakwah secara langsung melalui pendekatan lapangan dan penglibatan masyarakat.


Peserta Program Titian Hikmah Pendidik Insani @ Warga Emas merakamkan kenangan.


Tambahnya, sehubungan itu aktiviti utama termasuklah tahsin solat, zikir dan lain-lain lagi bersama warga emas dengan dibimbing mahasiswa terbabit amat memberi manfaat kepada mereka yang meneruskan kelangsungan hidup di situ.

Di samping itu, beliau berkata program berkenaan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif SULAM (Service Learning Malaysia - University for Society) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti, selaras dengan hasrat UPSI membentuk pendidik berjiwa insani dan penyayang.

"Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penghuni pusat jagaan, tetapi juga mendidik pelajar supaya lebih peka terhadap keperluan spiritual dan emosi kalangan warga emas dalam masyarakat," katanya. - KitaReporters

13
19
0
10
0
You will be interested