Kampus & Pendidikan 27 Jul, 2024

Elak anak-anak jadi mangsa seksual! Didik tentang sentuhan selamat, tak selamat! Bukan lagi isu tabu!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


SENTUHAN selamat ialah perlakuan yang membuatkan anak-anak selesa dan tenang seperti pelukan, menggosok atau menepuk bahagian belakang badan, meletakkan tangan pada bahu dan mungkin ciuman pada dahi dan pipi yang biasanya dilakukan oleh ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa, datuk, nenek, bapa atau ibu saudara.

Manakala sentuhan tidak selamat ialah  perlakuan yang menyakitkan badan dan emosi seperti memukul, menolak, mengetuk, mencubit, menendang.

Satu lagi ialah sentuhan yang tidak diingini  yang mungkin dianggap selamat tapi anak anak tidak selesa ialah tepukan pada punggung oleh bapa atau ibu saudara, ciuman oleh abang saudara, pelukan saudara lelaki kepada kanak kanak perempuan yang sudah akil baligh.

Dr Siti Sarah Amran


Pegawai Kesihatan DBKL, Dr Siti Sarah Amran, berkata secara ringkasnya sentuhan tidak selamat adalah apabila seseorang yang lebih dewasa menyentuh, memegang alat sulit kanak-kanak bukan untuk tujuan lain selain kesihatan atau kebersihan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu mengajar anak- anak untuk bertindak bila berlaku sentuhan tidak selamat kerana kadang kala mereka sukar membezakan atau mengenali sentuhan-sentuhan yang diterima malah tidak memahami sama ada sentuhan itu selamat atau tidak selamat. 

"Anak-anak perlu kenal dan tahu anggotsa sulit mereka dan sempadannya. Bagi lelaki, anggota sulit adalah zakar dan punggung manakala perempuan pada bahagian faraj, punggung dan payudara.

"Ia satu kesalahan jika seseorang itu memegang, menyentuh, meraba atau menggosok bahagian sulit kanak-kanak termasuk di hadapan orang lain termasuk menunjukkan alat sulit mereka kepada kanak-kanak, menyuruh, memaksa, memujuk dan mengambil gambar kanak-kanak dalam keadaan tidak berpakaian," katanya. 


Ibu bapa tidak perlu segan atau rimas untuk mengajar asas kefahaman aurat lelaki dan wanita.


Dr Siti Sarah berkata demikian dalam program Sembang Santai: Sentuhan Selamat dan Akil Baligh sempena Seminar Pendidikan Seksualiti: Tabu atau Perlu di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Ia dianjurkan oleh Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (I-Medik) dan Surau Al-Sobah.    

Katanya, anak perlu sentiasa diingatkan mengenai batas pergaulan mereka terutama membabitkan rakan berlainan jantina walaupun hal ini mungkin nampak remeh pada permulaan, namun ia menjadi semakin penting selepas anak menginjak akil baligh atau alam remaja.

"Jangan terlalu memberi kebebasan dalam segenap hal tetapi perlu sentiasa berpesan kepada anak mengenai had sesama rakan yang bukan mahram, contohnya anak perempuan tidak boleh berpegangan tangan dengan lelaki, bergurau-senda berlebihan secara fizikal atau berpelukan.

“Pastikan anak sensitif dalam isu pergaulan bebas. Ajarkan mereka mengenai aurat, sentuhan yang tidak selamat dan perbezaan antara mahram dan bukan mahram. Sentiasa beritahu mereka akibat buruk yang mungkin berlaku jika terlalu bebas dalam pergaulan,” katanya.


Sebahagian ibu bapa yang hadir di Seminar Pendidikan Seksualiti: Tabu atau Perlu di Surau Al-Sobah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Dr Siti Sarah yang juga Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA mengakui pengaruh media sosial, ruang sembang dalam talian dan Internet adalah sebahagian cabaran zaman teknologi, justeru tanggungjawab ibu bapa semakin berganda untuk terus berpesan kepada anak.  

"Beritahu anak-anak bahaya hubungan maya seperti konsep tipu daya seksual yang kerap dilakukan oleh segelintir kelompok pelayar. Dedahkan kepada mereka kejadian yang pernah berlaku kerana mereka harus tahu ancaman alam maya adalah realiti yang tidak boleh dipandang enteng.

"Selain itu ajar anak-anak mengenai pendidikan seksualiti seawal usia tiga tahun. Didik mereka mengenali bahagian tubuh sendiri dan tanamkan perasaan malu untuk mendedahkan bahagian sulit di khalayak ramai.

“Ibu bapa tidak perlu segan atau rimas untuk mengajar asas kefahaman aurat lelaki dan wanita. Dari situ, ia mungkin lebih mudah untuk meminta mereka menjaga had pergaulan sesama rakan terutama yang berlainan jantina," katanya.

Katanya lagi, perbincangan mengenai seksualiti dengan anak-anak bukan perkara tabu di zaman ini berbanding 10 tahun lalu. 

Jika kita mengelak, lambat laun, anak akan tahu juga malah lebih bahaya jika mereka mempelajari perkara itu melalui internet, rakan dan individu yang tidak bertanggungjawab.


Ibu bapa perlu mengambil pendekatan berterus terang mengenai risiko dan ancaman seksual kepada anak-anak.


“Ibu bapa perlu tahu bahagian mana yang perlu dijelaskan kepada anak. Jika anak bertanya, jawab soalan berkaitan seksual itu dengan jujur, berikan maklumat yang betul, bukannya berkias atau berdalih. 

"Walau apa pun reaksi anak, jika ibu bapa mengambil pendekatan berterus terang mengenai risiko dan ancaman seksual, mereka pasti memahami hasrat orang tua tapi berilah mereka sedikit ruang untuk membuat keputusan sendiri tanpa terlalu mengongkong," katanya.

Beliau mengakui dengan kecanggihan dunia komunikasi, siapa sahaja kini mudah berhubung dan peluang pemangsa mencari mangsa. 

Tidak hairanlah, kegiatan 'sexual grooming' atau antun seksual terhadap kanak-kanak juga meningkat melalui internet dan media sosial.

"Antun seksual adalah aktiviti jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak sebagai rakan, khususnya melalui internet. Ia perbuatan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang kian membarah dalam masyarakat. Modus operandi pemangsa sangat mudah dan dirancang secara sistematik.

"Pemangsa akan bermula dengan berkenalan di internet untuk membina hubungan dan kepercayaan. Pelbagai cara digunakan termasuk wang ringgit untuk menjerat mangsa, apabila mereka seronok dimanjakan, pemangsa akan mengambil kesempatan dan bertindak," kata Dr Siti Sarah lagi. 


Ustazah Nur Fatin Halil.


Sementara itu, Penyelidik Muafakat Ilmuan Islam, Ustazah Nur Fatin Halil, berkata masyarakat perlu membezakan antara pendidikan seksualiti dan pendidikan seks. Seksualiti merangkumi pelbagai aspek termasuk rohani, psikologi, kesihatan dan emosi, manakala seks hanya berkaitan dengan hubungan intim. 

Beliau berkata, stigma yang berlaku sebelum ini ialah isu mengenai seksualiti jarang dibahaskan secara terbuka, mungkin malu atau dianggap lucah malah ibu bapa dan guru tidak selesa bercakap di rumah atau sekolah kerana mereka bimbang pengetahuan seksualiti reproduktif akan menyebabkan remaja terjerumus kepada perlakuan seks.

"Tapi, dengan peningkatan kes seksual yang meruncing membabitkan anak-anak dan remaja, pendidikan seksualiti menjadi keperluan masa kini bagi memberi kesedaran kepentingan ilmu itu dilaksanakan dengan merujuk kerangka yang betul dan bukan hanya hubungan intim semata-mata.

"Sepatutnya isu mengenai pendidikan seksualiti dibincangkan dari konsep Islam merangkumi aspek fizikal, mental dan rohani. Alhamdulillah, akhir-akhir ini kesedaran ibu bapa mengenai isu mengadakan pendidikan seksualiti semakin kuat dilaungkan," katanya dalam ceramah kekeluargaan bertajuk, Pendidikan Seksualiti Dalam Islam: Tabu atau Perlu?

Ustazah Nur Fatin mengakui perasaan bimbang, sedih dan tidak percaya apabila membaca tajuk-tajuk besar dalam akhbar seperti bapa rogol dan liwat anak perempuan 600 kali, hamba seks abang, bapa pelaku tertinggi kes sumbang mahram, abang kandung rogol adik OKU dan guru cabul murid.

"Saya terkedu melihat statistik bahawa kes rogol termasuk membabitkan mangsa bawah umur paling tinggi bermula dengan penyantunan dalam talian sehingga pemangsa dapat mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tidak berdaya dan tertipu. 


Antara konsep pendidikan Islam ialah menjaga aurat dan kesopanan diri, menjaga dan menunduk pandangan mata, menjauhi percampuran berlainan dan sesama jantina.


"Sebab itu, pendidikan seksualiti amat penting bagi membolehkan anak-anak termasuk remaja tahu keburukan seks yang tidak terkawal dan mengelak mereka daripada menjadi mangsa pemangsa yang bijak mengambil kesempatan atas kelemahan si kecil.

"Statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2023 mendapati remaja berusia 16 hingga 24 tahun paling banyak terbabit dalam seks luar nikah iaitu 68.8 peratus, daripada satu pertiga remaja yang mengakses bahan lucah, 60 peratus diperolehi melalui internet dan 60 peratus mangsa jenayah seksual ialah kanak-kanak," katanya.

Katanya lagi, masyarakat perlu mengakui, kes jenayah seksual semakin meningkat dan ia memerlukan rawatan segera bagi memastikan perkara itu tidak menjadi wabak yang tidak boleh dikawal.

"Kembali kepada Islam kerana Allah sudah menjelaskan mengenai perkara-perkara berkaitan kekeluargaan dan seksualiti dalam al-Quran seperti Surah Al-Hujurat ayat 13, Al-Baqarah ayat 22 dan Surah Al-Mukminun ayat 12-17.

"Antara pendidikan dalam Islam ialah menjaga aurat dan kesopanan diri, menjaga dan menunduk pandangan mata, menjauhi percampuran berlainan dan sesama jantina, amalkan budaya meminta izin, pemisahan tempat tidur, memelihara kehormatan dan kesucian diri, berpuasa sebagai perisai diri dan menjauhi penyelewengan seksual," katanya.

Beliau menyarankan ibu bapa menggunakan modul pendidikan seksualiti yang digubal ReproAlert kerana ia merangkumi pelbagai perkara, antaranya konsep akil baligh, perkembangan jantina, pengurusan nafsu, penyakit kelamin, kesihatan psikoseksual, ancaman gajet dan internet, pornografi, sentuhan selamat dan tidak selamat, taubat bagi penzina, penderaan seksual dan buli siber," kata Nur Fatin lagi. - KitaReporters

16
16
0
11
0
You will be interested