Kampus & Pendidikan 02 May, 2025

Syabas! 18 graduan ADI tamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran! Terima sijil dan anugerah daripada MB!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: razakosman1950@gmail.com

Share this

Graduan menunggu giliran untuk menerima anugerah dan sijil pada Majlis Konvokesyen Al-Quran ke-3 di Dewan Utama Akademi Darul Ilmi Sungai Petani pada 27 April 2025.


Seramai 18 graduan di Akademi Darul Ilmi (ADI) Sungai Petani yang setelah berjaya mengikuti dan menamatkan hafazan berserta syahadah 30 juzuk al-Quran menerima pelbagai anugerah sempena berlangsung Majlis Konvokesyen Al-Quran ke-3 di Dewan Utama Akademi Darul Ilmi Sungai Petani, Kedah pada 27 April 2025.

Mereka itu, termasuk graduan dari Sabah dan Sarawak mengikuti kelas hafazan Al-Quran di Akademi Darul Ilmi selama dua tahun dengan tema "Ke Arah Melahirkan Ilmuan Islam Berprestasi Tinggi".

Pengerusi Akademi Darul Ilmi, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, graduan mengikuti kelas hafazan dengan ramai tenaga pengajar dan hasil daripada kegigihan, daya usaha berterusan, kesabaran yang tinggi, akhirnya berjaya dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup pada masa akan datang. 


Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) menyampaikan anugerah kepada Ahmad Fahmi Muammar Mohd Hafiz.


Menurutnya, dari sejumlah itu, pelajar al-Quran Sesi 2023/2024, Muhammad Aniq Ukail Mohd Faizal dipilih menerima Anugerah Ubai bin Ka'ab (Al-Quran), Muhammad Ali Mohd Nor Afandi menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq (Sahsiah Terpuji), dan Ahmad Fahmi Muammar Mohd Hafiz menerima Anugerah Abu Ubaidah Al-Jarrah (Kepimpinan).

"Graduan yang berjaya menamatkan hafazan Al-Quran 30 juzuk dalam masa dua tahun akan menjadi satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan," katanya.

Mulai tahun ini (2025), pelajar di Akademi Darul Ilmi akan berpeluang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Akademi Darul Ilmi terletak di Kampung Che Bema, Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, ia dikelilingi hutan paya bakau dan tanaman padi menghijau membuatkan ekosistem pusat pengajian berada dalam keadaan tenang dan nyaman," katanya lagi.


Beberapa orang graduan membaca hafazan Al-Quran.


Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap merasmikan majlis penyampaian anugerah kepada graduan itu berkata, pada usia masih muda, hafazan Al-Quran mudah diterima dalam ingatan masing-masing berbanding dengan usia seseorang yang telah meningkat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Dato' Mohd Azam Abd Samad; Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin; Dan Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Ahmad Muzammil Yub. - KitaReporters


Penghafaz Al Quran bergambar kenangan bersama Muhammad Sanusi Md Nor pada Majlis Konvokesyen Al-Quran ke-3 di Dewan Utama Akademi Darul Ilmi Sungai Petani pada 27 April 2025.

7
12
0
11
0
You will be interested