Kampus & Pendidikan 07 Oct, 2024

Bahasa Melayu sebagai aset budaya dan intelektual! UPSI anjurkan persidangan antarabangsa di Jepun!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Gambar hiasan.... Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.


PERSIDANGAN Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu (PAMBM) Kelapan bertemakan “Kedinamikan Prospek Pengajian Melayu” di Tokyo University of Foreign Studies, Jepun memberi impak positif dalam inisiatif mengembangkan bahasa Melayu di persada antarabangsa selepas berlangsung pada 10 dan 11 September 2024.

Persidangan anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyaksikan tiga pembentangan kertas kerja menyentuh isu pemartabatan bahasa Melayu. 

Dekan FBK, Prof Madya Dr Mazura @ Mastura Muhammad, berkata PAMBM 2024 itu adalah satu inisiatif penting untuk memelihara dan mengangkat keunggulan bahasa Melayu sebagai aset budaya dan intelektual kita.

Menurutnya, PAMBM itu disertai ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kementerian di Malaysia, Singapura, Brunei dan Jepun yang berkongsi idea dan pandangan dalam pelbagai prospek Pengajian Melayu.  

“Usaha dan strategi ini adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat nasional dan global,” katanya pada persidangan yang menyaksikan pembentangan sebanyak 51 kertas kerja dengan subtema linguistik, budaya, kesusasteraan, bahasa etnik, pendidikan, sosiologi, antropologi, manuskrip, filologi, kesenian serta  subtema berkaitan pengajian Melayu.  


Antara sesi perbincangan yang diadakan sempena PAMBM 2024.


Sementara itu, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika berucap merasmikan PAMBM 2024, sekali gus menyampaikan ucaptama, berkata bahawa manfaat persidangan bukan sahaja menghasilkan jurnal scopus semata-mata tetapi mempromosikan bahasa Melayu sebagai salah satu medium komunikasi yang berpotensi dalam pelbagai aspek atau bidang di dunia.

Katanya, bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan rakyat Malaysia, malah berpotensi besar untuk digunakan dalam pelbagai aspek tanpa terbatas sebagai bahasa Melayu sahaja.

Merentasi empat era sejak Sultan Idris Training College (SITC) yang melahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan, sasterawan negara, peneraju pendidikan, malah kini era UPSI memberi fokus terhadap pengantarabangsaan pendidikan dan bahasa Melayu. 

“Setiap kita harus ada satu projek untuk memartabatkan bahasa Melayu supaya ia akan terus kekal, mekar, semarak, dihormati dan disegani,” katanya.

Dalam meluaskan khalayak berbahasa Melayu, beliau berpendapat ia boleh dikembangkan menerusi medium media sosial seperti YouTube, Instagram, TikTok dan Facebook.  


 

Prof Dr Md Amin Md Taff menyampaikan ucaptama pada PAMBM 2024.


Ucaptama turut disampaikan oleh Duta Malaysia di Jepun , Datuk Shahril Effendi Abd Ghany yang antara lain menyentuh sejarah perkembangan bahasa Melayu, malah berpendapat upaya bahasa Melayu untuk menjadi bahasa antarabangsa bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. 

Justeru, menurutnya, untuk bahasa Melayu menjadi bahasa utama di Asia Tenggara juga mampu diupayakan dari segi kecemerlangan bahasa Melayu sejak zaman silam, sistem bahasa Melayu, kemampuan bahasa Melayu mengungkapkan pelbagai bidang ilmu, kedaulatan bahasa Melayu, pembinaan kepustakaan berbahasa Melayu.

“Di samping jumlah penutur yang semakin bertambah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa antarabangsa khususnya di Asia Tenggara pada masa akan datang,” katanya.


Profesor Soda Naoki turut menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan.


Profesor di Tokyo University of Foreign Studies, Jepun, Profesor Dr Soda Naoki dalam ucaptamanya pula berkongsi peranan universiti berkenaan dalam sejarah perkembangan pendidikan bahasa Melayu di Jepun.

Di Jepun, pendidikan bahasa Melayu dikatakan bermula pada awal abad ke -20 sehingga terbina hubungan antara Jepun dengan negara Asia Tenggara khasnya Malaysia. - KitaReporters


Prof Md Amin (duduk depan tiga dari kiri), Shahril Effendi Abd Ghany (depan tengah) dan Profesor Dr Soda (depan, dua dari kanan) bersama pembentang dan peserta PAMBM 2024 di Tokyo University of Foreign Studies, Jepun.

15
7
0
13
0
You will be interested