UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Muallim menganjurkan Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim 2024 di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada 14 Ogos 2024 lalu.
Sambutan 2024 bertemakan ‘Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu
Sepenuhnya (Closing the Gap: Breastfeeding Support for All)’ itu memfokuskan
kepada kelangsungan hidup, kesihatan dan kesejahteraan
Pegawai Kesihatan Daerah Muallim, Dr Raja Mohd Azim Raja Haron, berkata tujuan sambutan yang diadakan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan keperluan penyusuan susu ibu secara ekslusif dalam kalangan komuniti di daerah Muallim.
Prof Dr Abdul Rahim Razalli menurunkan tanda tangan sebagai tanda merasmikan Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim 2024.
Menurut beliau, dari setahun ke setahun peratusan bagi penyusuan susu ibu secara ekslusif itu menunjukkan penurunan data berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi peratusan penyusuan susu ibu di Perak adalah sekitar
60 peratus dan untuk daerah Muallim menunjukkan pada jumlah 70 peratus.
“Sokongan daripada pihak majikan dan yang paling penting membabitkan
suami supaya ibu yang berkerjaya ini memberi penyusuan kepada bayi secara
ekslusif.
“Antara objektif yang penting dalam penganjuran pada kali ini untuk memberi sokongan kepada ibu di tempat kerja iaitu disediakan bilik atau tempat khas penyusuan susu ibu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI,
Prof Dr Abdul Rahim Razalli yang hadir merasmikan majlis berkenaan, berkata tema sambutan itu menyoroti keperluan
untuk meningkatkan sokongan penyusuan ibu bagi mengurangkan ketidaksamaan yang
wujud dalam masyarakat, khususnya apabila situasi kecemasan dan krisis.
Menurut beliau, untuk mencapai matlamat ini, kerjasama dari semua pihak adalah sangat penting, termasuklah peranan kerajaan, penggubal dasar, pertubuhan bukan kerajaan, majikan, pekerja, komuniti dan ibu bapa.
Sebahagian peserta yang hadir memeriahkan Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Daerah Muallim 2024 pada 14 Ogos 2024.
“Dasar Kerajaan menyarankan supaya setiap bayi dimulakan dengan penyusuan susu ibu sejurus kelahiran, diikuti penyusuan eksklusif selama enam bulan dan diteruskan sehingga anak berusia dua tahun.
“Sokongan daripada sistem kesihatan yang mesra penyusuan
susu ibu serta penglibatan komuniti amat penting dalam menjayakan amalan ini,”
ujar beliau.
Tambah beliau lagi, melalui penubuhan Kumpulan Sokongan
Penyusuan Susu Ibu Daerah Muallim (KESUMA) adalah langkah yang tepat untuk
mempromosi, melindungi dan menyokong amalan ini.
“Saya juga dimaklumkan bahawa Pusat Penyelidikan
Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) UPSI menerima Anugerah Fasiliti Mesra
Penyusuan Susu Ibu pada tahun lalu (2024) menjadikan NCDRC sebagai salah satu fasiliti
bukan kesihatan di Muallim yang mempunyai bilik penyusuan ibu di tempat kerja.
“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada Persatuan Wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (PEWARIS) dan NCDRC atas sumbangan tenaga dan bantuan dalam menjayakan karnival ini,” katanya. - KitaReporters
Prof Dr Abdul Rahim berucap merasmikan karnival berkenaan.