Kampus & Pendidikan 09 Aug, 2024

Giliran KPM74 untuk kembali MEKAR! Bersua semula setelah 50 tahun! UPM jadi saksi! Sumbang RM50k!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Terima kasih Alumni KPM74 atas sumbangan kepada universiti.


Tiada perkataan dapat digambarkan saat kembali bersua muka dan bertanya khabar diri masing-masing setelah 50 tahun meninggalkan menara gading. Seperti biasa, Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pertemuan lebih kurang 100 orang alumni dari Kolej Pertanian Malaya batch 1974 (KPM74).

Mereka kembali menjejakkan kaki ke situ setelah setengah abad meninggalkan kampus UPM cawangan Serdang semata-mata untuk menjayakan sambutan Perayaan Jubli Emas KPM74 di UPM.

Program atau majlis ini telah diurus kendali dengan jayanya oleh Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) selaku entiti penghubung alumni dan alma mater iaitu Program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR). 

Program ini yang juga kerjasama bersama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) adalah satu program yang menghimpun dan mengumpulkan kembali alumni-alumni UPM di luar untuk kembali ke alma mater.



Ini merupakan anjuran MEKAR untuk kali ke-19. Sebelum KPM74, alumni daripada KPM72 dan KPM73 sudah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi kumpulan daripada Kolej Pertanian Malaya yang mengadakan reunion dan sekali gus menyerahkan sumbangan mereka kepada universiti terutama dalam usaha membantu para pelajar UPM yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan sebagainya.

Pada pertemuan MEKAR 19, KPM74 telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM50.000 kepada Tabung Endowmen Sultan Idris Shah (TESIS). 

Tabung ini adalah amanah yang diberikan dan akan disalurkan sebagai bantuan kewangan berbentuk biasiswa dan hadiah universiti kepada pelajar yang memerlukan dan juga pelajar cemerlang.

Zainal Abidin Yahya, selaku wakil daripada kumpulan KPM74, telah menyerahkan replika sumbangan kepada Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM untuk disalurkan kepada pelajar UPM yang memerlukan pada majlis berkenaan. 

Amanah yang diberikan kepada ARCUPM ini memperlihat hubungan dan kepercayaan bersama alumni UPM sangat baik dan inilah yang diharapkan.



50 tahun meninggalkan dunia kampus bertemu pada program MEKAR KPM74.


Menurut Zainal, dia mengharapkan lebih ramai lagi alumni UPM kembali berbakti kepada universiti. 

Jasa universiti kepada alumni terlalu banyak dan alumni UPM khususnya perlu melihat perkara dari sudut yang berbeza. ‘Jika dahulu kita sudah mengambil, kini tiba masanya untuk kita memberi pula’.

Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh alumni KPM74 ini menjadi satu simbolik bahawa peranan alumni sangat penting dalam bersama-sama memartabatkan institusi ilmu.

ARCUPM yang diwakili Prof. Madya Dr. Siti Aqlima dan juga Timbalannya Dr. Mokrish Md Ajat, melihat kesudian para alumni UPM khususnya alumni KPM74 meluangkan masa menjayakan program MEKAR 19 - Sambutan Jubli Emas KPM74 ini merupakan satu usaha murni dan pada yang masa sama menyatakan prinsip mereka bahawa alumni dan universiti berpisah tiada.


Bersama bersama Pengarah ARCUPM (tengah).


Kedua-dua mereka yang juga merupakan alumni UPM, turut menyeru kepada seluruh alumni UPM di luar sana untuk terus kembali ke alma mater terutama pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang @ Homecoming kali-12 yang diadakan pada 26 Oktober 2024 ini.

“Pusat Perhubungan Alumni, mengalu-alukan kehadiran dan kepulangan semua alumni UPM untuk bersama-sama dalam dalam Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang nanti dan juga dalam apa juga program yang dianjurkan. 

"Pusat Perhubungan Alumni sentiasa bersedia menerima kehadiran alumni semua dalam usaha bersama-sama kita memainkan peranan masing-masing dalam keterlihatan alumni dan sekaligus memartabatkan institusi pendidikan tinggi negara,” kata Dr. Siti Aqlima.

Terdahulu, MEKAR 19 - Sambutan Jubli Emas KPM74 telah berlangsung selama dua hari berturut iaitu pada 3 dan 4 Ogos 2024.

Bermula dengan Perlawanan Golf Amal yang berlangsung di Kelab Golf Uniputra UPM dan berakhir dengan Majlis Hi-Tea yang diadakan di ruang legar Bangunan Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) UPM, pada 4 Ogos. 

Turut hadir, Presiden Persatuan Alumni UPM, Dato’ Raihan Sharif dan Setiausaha Persatuan Alumni UPM, Dr. Ibrahim Mohamed. - KitaReporters


8
13
0
15
0
You will be interested