Malaysia sebenarnya sudah ketinggalan dalam bidang pendidikan memandangkan 137 negara di seluruh dunia telah menetapkan umur 6 tahun bagi kemasukan Tahun 1.
Selain itu, Kerajaan akan merancang peruntukan RM800 juta dalam Belanjawan 2027 untuk menambah 18,000 guru dan kemudahan bilik darjah bagi menyokong kemasukan awal ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Malaysia tidak boleh lagi terus ketinggalan dalam bidang pendidikan.
"Mengikut data UNESCO, 137 negara telah menetapkan umur 6 tahun bagi kemasukan Tahun 1 dan kita mengambil langkah bersedia dengan pelaksanaan sesi 2027 mulai 15 Februari hingga 31 Mac (2026).
"Kanak-kanak berumur 5 tahun boleh mendaftar prasekolah secara pilihan mulai 6 April 2026, memberi ruang kepada ibu bapa tanpa paksaan," jelas beliau.


UNESCO melaporkan bahawa 137 buah negara (kira-kira 71% daripada negara di dunia) telah menetapkan umur 6 tahun sebagai umur rasmi untuk memulakan pendidikan sekolah rendah.
Di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, Malaysia menetapkan ibu bapa boleh mendaftarkan anak-anak mereka secara sukarela ke Tahun Satu seawal usia 6 tahun pada sesi persekolahan 2027.
Sehubungan itu, kerajaan akan merancang peruntukan RM800 juta dalam Belanjawan 2027 untuk menambah 18,000 guru dan kemudahan bilik darjah bagi menyokong kemasukan awal ini.
Selain itu, kata Anwar, kemudahan pendidikan akan diperluas di sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru.
"Inilah hasrat Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap murid mendapat peluang terbaik dan Malaysia terus berada di hadapan dalam bidang pendidikan," ujarnya. - KitaReporters/Kenyataan Media
