Kampus & Pendidikan 14 Aug, 2023

10 Tahun KUIPs! Pemangku Raja Perlis mahu jumlah pelajar dan daya kebolehpasaran graduan ditingkatkan!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this


Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. - Gambar Oleh: AZAMI RAMLI

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Tuanku Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menyempurnakan gimik simbolik pelancaran Logo, Kapsul Masa berserta Coffee Table Book sempena Pelancaran 10 Tahun KUIPs di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kangar.

Moga harapan dan hasrat baginda dalam kapsul yang akan dibuka dalam tempoh 10 tahun itu akan menjadi kenyataan dan direalisasikan nanti. 

Terdahulu dalam ucapan sambutan ulang tahun KUIPs ke-10 ini baginda melahirkan rasa gembira dengan pencapaian yang diperolehi dan berharap pelbagai pencapaian lain akan menyusuli termasuk meningkatkan daya kebolehpasaran graduan yang berkualiti dan menambah penawaran program-program pengajian yang kompetitif pada peringkat siswazah, mahupun pascasiswazah.

Manakala saranan Tuanku kepada ahli akademik pula ialah mereka harus lebih proaktif dalam memastikan mahasiswa mendapat pendidikan yang berkualiti dalam silibus pembelajaran yang selari dengan peredaran masa.


Tuanku Syed Faizuddin Putra menyempurnakan Kapsul Masa.

“Bagi mencapai status universiti penuh pula pihak pengurusan serta semua warga kerja KUIPs haruslah berusaha untuk mencari penyelesaian strategi jangka pendek mahupun jangka panjang demi memenuhi segala syarat yang ditetapkan,” titah baginda lagi.

Antara harapan baginda ialah KUIPs dapat menambah jumlah pelajar supaya mencapai 2,000 orang dalam tempoh terdekat di samping mencapai tahap lima (5) dalam SETARA khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan dan tadbir urus.

Namun dalam masa yang sama baginda mengharapkan tadbir urus yang baik bagi memantapkan lagi polisi yang sedia ada terutama sekali dalam aspek akademik dan pentadbiran yang merangkumi kebajikan setiap staf di kolej ini. 

Di majlis yang sama, Tuanku turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sempena Ulang Tahun ke-10 KUIPs yang dimenangi Nurshafika Mohd Badri yang membawa pulang RM250.


Tuanku Syed Faizuddin Putra melihat Coffee Table Book sempena Pelancaran 10 Tahun KUIPs.

Sementara itu Rektor KUIPs, Prof Dr Rozaimi Ramle dalam ucapan aluan berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2013 pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk pencapaian pelajar, pencapaian staf dan pencapaian universiti juga.

Kerjasama yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa agensi luar juga diadakan sejak penubuhannya dari sebuah institusi maktab yang kecil dan bermula dengan hanya 61 pelajar, kini kita telah mempunyai lebih 1,000 pelajar.

KUIPs kini mempunyai empat buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat & Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan & Sains Pengurusan serta Fakulti Al-Quran & Sunnah dengan penawaran lebih 26 program pengajian di peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

Katanya dengan kemajuan yang dicapai melalui pengukuhan program yang dilaksanakan serta disokong dengan infrastruktur pendidikan yang kondusif dan serba lengkap KUIPs semakin dikenali bukan sahaja dalam negeri malah luar negara juga.



“Bagi menjadi sebuah universiti penuh menjelang tahun 2025, kita sedang berusaha untuk memastikan semua kriteria penarafan dipenuhi dan dipatuhi termasuk melancarkan KUIPs DINAMIK iaitu, (Dasar (D), Infrastruktur (I), Nilai (N), Akademik (A), Mahasiswa (M), Integriti (I) dan Keterlihatan (K) sempena perhimpunan Majlis Azam KUIPs 2023 lalu,” sambung beliau lagi.

Manakala beberapa langkah lain yang turut diperkenal ialah penjanaan dana kewangan, promosi infak dari pihak korporat serta orang ramai dan juga menubuhkan Dana Wakaf Jamalullail (DWJ) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) yang bertujuan untuk penajaan penyelidikan, penerbitan bahan ilmiah dan penajaan biasiswa pelajar.

Bagi penetapan tujahan baharu serta perancangan berdasarkan Pelan Strategik KUIPs 2021-2025 pula kita mengharapkan agar semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam membantu KUIPs dalam merealisasikan hasrat menjadi universiti penuh sempena 10 tahun penubuhan KUIPs pada tahun ini. 

Semoga dengan penarafan penuh nanti dapatlah memberikan perubahan dalam landskap pendidikan tinggi di Malaysia terutamanya di Negeri Perlis ini nanti, tegas Dr Rozaimi. - KitaReporters


Nurshafika Mohd Badri menerima hadiah  RM250 selepas diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sempena Ulang Tahun ke-10 KUIPs.


Tuanku Syed Faizuddin Putra bergambar kenangan selepas majlis itu.

20
10
0
20
0
You will be interested