Seramai 1,499 Pegawai Kadet, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Awam (UA) berdebar menanti tarikh 9 September 2023 untuk ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.
Mereka masing-masing yang telah menjalani latihan tiga dan empat tahun ini bukan sahaja menantikan tarikh keramat ini malah yang lebih penting dapat meraikan kejayaan mereka dengan ibu bapa serta keluarga.
Mohamad Syafiq Iqmal Ismail, 23, dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, dia terpaksa menunggu empat tahun untuk ditauliahkan walaupun kebiasaannya tiga tahun sahaja.
“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 telah menyebabkan majlis pentauliahan tertunda dan kini masa yang dinantikan telah tiba,” ujarnya lagi.
Manakala Darwis Amiini Akhdiat Miharja, 23, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, kehadiran mereka di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk majlis pentauliahan ini amat dinantikan selepas tiga bersama menjalani latihan sebagai pegawai kadet.
“Pastinya penantian ini bukan sahaja mengembirakan kami malah ibu bapa dan keluarga juga pastinya menunggu hari yang bersejarah ini,” sambungnya lagi ketika ditemui semasa raptai perbarisan di padang kawad UUM.
Muhammad Faiz Mohd Fauzi
Bagi Muhammad Faiz Mohd Fauzi dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) kesemua pegawai kadet yang hadir di majlis pentauliahan ke-41 ini tidak sabar dan menanti dengan penuh debaran setelah tiga tahun berjaya menjalani latihan sebagai pegawai kadet Palapes.
“Saat bersama menjalani latihan pastinya menjadi ingatan dan kenangan yang amat bermakna sepanjang bersama rakan sepasukan sebelum ditauliahkan nanti,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini. - KitaReporters
PALAPES yang menyertai raptai di padang kawad UUM ini.
Pegawai Kadet Terbaik PALAPES turut menyertai raptai.
Pegawai Kadet Palapes Udara yang menyertai raptai.