.
PEMPENGARUH yang dikenali sebagai 'Cik Yah' dalam media sosial atau nama sebenarnya Amar Reza Zainalabidin, 30, akhirnya berjaya mencipta satu lagi kejayaan apabila menerima ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 30 November 2024.
Momen istimewa itu berlangsung sempena Istiadat Konvokesyen
UPSI kali ke-26 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah,
UPSI itu turut disaksikan oleh bapanya, Zainalabidin Mustaffa, 59 dan ibunya
Hanizah Abdul Hamid, 54.
Amar Reza membuat kandungan yang membawa watak ibunya sebagai 'Cik Yah' dalam memberi nasihat dengan imej emoji mendapat perhatian ribuan netizen.
Imej emoji 'Cik Yah'.
Beliau mengakui menggalas cabaran besar untuk mengimbangi peranannya sebagai pelajar sarjana dan pencipta kandungan.
“Saya bersyukur perjalanan ini tiba di penamatnya. Ia satu
perasaan yang melegakan apabila dapat menyempurnakan tanggungjawab lebih-lebih
lagi apabila ibu bapa hadir menyaksikan kejayaan saya,” ujarnya.
Jelas beliau yang kini menjadi pensyarah pelatih di Fakulti
Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, pengalaman sebagai pelajar dan pengajar
membuka ruang baharu untuk perkembangan intelektual dan kreativiti.
“Pengajian itu membantunya memahami kelompongan dalam ilmu
pengetahuan sebelum ini dan seterusnya melengkapkan kefahaman terhadap konsep
yang lebih luas.
“Belajar tidak hanya membantu saya secara akademik, malah
memberi kesan langsung terhadap kualiti kandungan digital yang saya hasilkan,”
katanya.
Kandungan Amar dalam media sosial yang sering menggabungkan
elemen humor dan pendidikan kini terpengaruh dengan pemahaman lebih mendalam mengenai
seni persembahan.
Perkara itu menjadikannya bukan sahaja inspirasi kepada anak muda tetapi juga pembawa pengaruh positif yang memperkaya platform digital tempatan.
‘Cik Yah’ atau nama sebenar Amar Reza bersama ibu, Hanizah Abdul Hamid dan bapanya, Zainalabidin Mustaffa selepas menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26.
Beliau berharap dapat menyumbang kepada pembangunan
institusi itu, terutama dalam memperkukuh bidang kandungan digital yang
masih kurang diterokai di Malaysia.
Melihat potensi besar dalam bidang kandungan digital, Amar
kini berazam untuk melanjutkan pengajian pada peringkat PhD pada tahun depan (2025).
Menurut Amar, bidang berkenaan mampu membawa UPSI ke tahap
lebih tinggi sebagai pusat rujukan utama untuk kandungan digital di negara.
Tambahnya, Malaysia masih kekurangan pakar dalam bidang itu
dan dia berharap dapat memainkan peranan untuk mengisi jurang berkenaan.
Bagi Amar, pendidikan adalah kunci kepada perubahan, bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk masyarakat.
Beliau berharap kisah kejayaannya dapat memberi inspirasi
kepada generasi muda untuk terus berusaha dan memanfaatkan peluang pendidikan
di UPSI.
“Mungkin adik-adik di luar sana akan menjadikan UPSI pilihan selepas SPM dan di sini mereka boleh melihat potensi sebenar diri mereka,” ujarnya. - KitaReporters
Pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mengikuti pengajian.