Kampus & Pendidikan 15 Feb, 2022

Hebat boh! Pengantarabangsaan pelajar UniSZA! Ramai pelajar luar negara kini pilih Terengganu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kampus Gong Badak, Terengganu


PUSAT Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu menjadi pilihan kepada pelajar luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang menjadikan universiti tersebut bertaraf dunia.

Pengarahnya, Cornelius Anuar Abdullah McAfee, berkata, universiti tersebut telah berkembang pesat dari segi pengambilan pelajar antarabangsa berbanding ia hanya berstatus sebuah kolej dikenali Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sehingga menjadi pusat pendidikan bertaraf universiti.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UniSZA


Anuar McAfee


Katanya, Pusat Antarabangsa UniSZA ditubuhkan pada 2014, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga kini merekodkaan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara.

Menurutnya, kejayaan itu meletakkan UniSZA  berada dalam barisan hadapan dalam usaha menarik kemasukan pelajar antarabangsa dari seluruh dunia.

“Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, perkembangan menggalakkan itu disebabkan usaha UniSZA mempromosikan universiti itu secara bersungguh-sungguh selain ia mempunyai kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman.


Sebahagian pelajar antarabangsa ketika sesi mendaftar masuk UniSZA


Katanya, ramai pelajar  yang menuntut di UniSZA  kebanyakan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA.

Anuar yang berasal dari Kanada juga pensyarah Bahasa Inggeris di UniSZA berkata, faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin.

“Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain,” katanya.


Pelajar antarabangsa turut diberi pendedahan melakukan kerja gotong royong termasuk usaha membersih pantai.


Beliau berkata, pada awalnya kebanyakan kemasukan pelajar adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaik taraf sebagai Universiti Awam.

“Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutama dalam kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya. 

Selain itu, katanya lagi, program kemasyarakatan antara pelajar dengan komuniti adalah salah satu kaedah berkesan untuk merapatkan hubungan pelajar dengan penduduk rakyat Terengganu , sekali gus menarik perhatian pelajar-pelajar antarabangsa untuk ke UniSZA. - KitaReporters


Pelajar Antarabangsa menyertai kerja sukarelawan  membersih pantai Seberang Takir,Kuala Terengganu

11
15
0
9
0
You will be interested