Kampus & Pendidikan 08 Feb, 2022

Video| Shidee GV8 okey tapi ada batuk darah! Jatuh skuter elektrik! Hendak solat asar di surau!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

Shidee terlantar  atas jalan dan hanya sedar ketika dalam ambulans. - Kredit foto: Ihsan Shidee

Penyanyi popular era 1980-an, Shidee, 62, yang merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza 8 (GV8) mengalami kemalangan di kawasan kediamannya di PPR Pinggiran Bukit Jalil, Kuala Lumpur ketika menaiki skuter elektrik pada petang Ahad, 6 Februari 2022. 

Penyanyi yang nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab, yang popular dengan lagu ‘Semuanya Sudah Terlambat’,  menaiki skuter elektrik untuk ke surau kira-kira 300 meter dari rumah bagi solat asar. Dia merupakan bilal surau itu.

Shidee ketika dihubungi media menyatakan dia tidak tahu bagaimana kejadian berlaku, sama ada jatuh sendiri atau dilanggar. Ini kerana dia hanya sedar apabila sudah berada dalam ambulans menuju ke hospital.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Shidee


Sementara itu menurut isterinya, Siti Fairunnisa Aziz kepada media, dia dihubungi seseorang yang memaklumkan Shidee kemalangan selepas terjatuh ketika menunggang skuter elektrik dalam perjalanan ke surau. 

Ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat  suaminya sudah terbaring bersama beberapa orang dan kemudian dibawa dengan ambulans ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun menurut Fairunnisa, Shidee hanya mengalami kecederaan ringan dengan luka kecil dan juga bengkak pada bahagian muka akibat terjatuh.

Setelah dibuat imbasan sinar-X sebanyak dua kali, doktor mendapati tiada cedera dalaman dan Shidee dibenar pulang pada malamnya.


Fairunnisa mengucap terima kasih kepada orang ramai yang menemui Shidee terjatuh dan menghubungi ambulans.

Bagaimanapun menurut Shidee dia perlu kembali menemui doktor apabila mengalam batuk berdarah setelah kembali ke rumah.

Shidee kembali popular apabila menyertai GV8 dan berjaya hingga peringkat separuh akhir pada Januari 2022 lalu. 

Dia kembali mendapat jemputan nyanyian setelah menyertai program nyanyian yang popular itu. - KitaReporters


9
13
0
12
0
You will be interested