Kampus & Pendidikan 29 Mar, 2022

UPM di puncak dunia! Misi tawan Gunung Everest! Sejarah! Alumni sendiri kibar bendera universiti!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Kredit Foto: Google Image


Dapat ‘menggapai awan’ di puncak tertinggi dunia iaitu Gunung Everest, pasti menjadi kebanggaan sesiapa sahaja. Tidak semua pendaki berjaya menawan puncak tertinggi itu kerana laluannya sangat mencabar sehingga boleh meragut nyawa.

Justeru, tidak hairanlah ia memberi erti mendalam atau sejarah dalam hidup seseorang sekiranya berjaya ke puncak. Malah, dapat menumpang atau mengirim sesuatu yang simbolik ke puncak sudah memadai dan menjadi kebanggaan serta sejarah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Gunung Everest

UPM melancarkan misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest.


Bersandarkan itu, baru-baru ini pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan satu misi yang digelar Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest.

Bendera UPM bakal dikibarkan di puncak gunung tertinggi itu sekali gus mencipta sejarah apabila alumni UPM sendiri yang akan merealisasikan misi tersebut.

Selesai Majlis Konvokesyen UPM ke-45 untuk sesi ketiga, di hadapan para graduan UPM, Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman selaku Naib Canselor UPM telah menyerahkan bendera kebanggaan seluruh warga UPM ini kepada pendaki Gunung Everest Ravichandran Tharumalingam yang merupakan Alumni UPM Kelas 1990.

Ini merupakan pendakian kali ketiga Ravichandran dan kali ini lebih istimewa kerana beliau bakal kibarkan bendera UPM di puncak tertinggi dunia itu.

Sejarah untuk UPM bakal tercipta. Pasukan ekspedisi beliau berlepas ke Kathmandu, Nepal pada 25 Mac 2022 bagi tujuan persiapan sebelum melakukan pendakian. Ekspedisi ini dijangka tamat pada penghujung Jun 2022.  


Penyerahan Bendera UPM oleh Dr. Roslan Sulaiman kepada  pendaki Everest, Ravichandran Tharumalingam (Alumni UPM Kelas 1990).



Pada majlis itu juga turut dilancarkan tabung sumbangan Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest yang hasil sumbangan itu nanti akan disalurkan kepada para pelajar UPM yang memerlukan.

Hasrat Ravichandran untuk mengibarkan bendera UPM di puncak Everest itu telah disambut baik oleh UPM sebagai satu Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest. 

Dengan slogan #daripadaalumnikepadaupm# misi ini adalah satu tanda solidariti dan tanda sokongan alumni terhadap aspirasi ke-11 Naratif Naib Canselor 2022 iaitu melibatsamakan alumni untuk kelangsungan universiti.

Berkata pada acara penyerahan bendera itu, Dr. Roslan optimis, bahawa misi ini sebagai satu pengiktirafan kepada UPM  sebagai sebuah menara ilmu dan berharap semangat yang ditonjolkan oleh Ravichandran ini diteladani oleh seluruh warga UPM.

“Inilah semangat alumni berbakti yang diharapkan yang tidak seharusnya dalam bentuk wang ringgit sahaja, malahan semangat cinta akan alma mater dengan cara begini juga adalah dituntut.

“Menerusi semangat jati diri yang tinggi begini pasti dapat merealisasikan misi UPM dalam melahirkan pelajar sebagai sosok warganegara yang baik yang bakal mewarisi kepimpinan dan memimpin negara pada masa akan datang,” ujar beliau pada acara penyerahan bendera tersebut.



Ravichandran turut mohon sokongan daripada semua warga UPM dengan cara mengikuti Facebooknya dan dapat meninggalkan kata-kata semangat dan positif di situ sebagai satu tanda sokongan moral yang mencerminkan semangat kebersamaan dalam menjayakan misi ini.

Beliau juga mengharapkan sesi latihan terakhirnya di sekitar pergunungan Nepal sebagai langkah akhir sebelum memulakan pendakian berjalan lancar.

“Pendakian kali ini adalah paling istimewa kerana saya bakal mengibarkan bendera UPM dan sebagai alumni UPM ini adalah sumbang bakti saya terhadap UPM dalam membawa nama UPM di mata dunia,” ujarnya yang sangat mengharapkan sokongan moral daripada seluruh warga UPM.

Misi pendakian ini juga boleh disaksikan oleh seluruh warga UPM menerusi tiktok@UniPutra yang akan merekodkan dan mendokumentasikan perjalanan yang penuh sejarah ini.


YH Prof. Dato Dr. Roslan Sulaiman bersama Ravichandran (2 dari kanan).


Bagi Pusat Perhubungan Alumni, Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud menyatakan bahawa ekspedisi ini adalah julung kali diadakan oleh alumni UPM dalam membawa Misi UPM Di Puncak Dunia @ Everest.

Pastinya kejayaan ini bakal mencatat satu sejarah yang cukup manis kepada UPM kerana usaha ini bakal direalisasikan oleh alumni UPM sendiri.

“Apa yang kita harapkan anjutan daripada misi ini, diharapkan para mahasiswa UPM yang berminat dengan aktiviti pendakian akan dapat dibimbing dan diberikan pendedahan oleh Ravichandran menerusi siri motivasi yang bakal dikendalikan nanti.

“Saya mewakili seluruh warga UPM terutamanya alumni akan terus menyokong dan sentiasa mengalu-alukan hasrat alumni dalam membawa nama UPM di peringkat antarabangsa,” akhirinya. - KitaReporters


17
6
0
8
0
You will be interested