Kampus & Pendidikan 26 Oct, 2021

UPSI tampil bantu! Siti Najikhah hilang tempat bergantung! Satu persatu ahli keluarga meninggal

@noraini wahab
Dedicated mommy. Suka menulis dan masih menulis.

Share this


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah gambaran dihadapi penuntut semester tujuh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Najikhah Md Hamin, 22, yang kehilangan empat ahli keluarga sejak tahun 2020 termasuk kedua ibu bapa tersayang

Segalanya bermula pada April 2020 setelah kematian kakak iparnya, Noor Azlina Mat Isa yang dijemput Illahi akibat menderita kanser payudara dan empat bulan kemudian abang kandungnya, Mohd Norhelmi pula 'pergi' kerana penyakit barah dan jangkitan kuman.

Episod duka terus dilalui Siti Najikhah setelah bapa tersayang, Md Hamin Taha, 72, meninggal dunia akibat demam panas pada 13 Mac 2021 sebelum disusuli ibu tercinta, Martini Saleh, 66, pada 18 Oktober 2021 yang menghidap penyakit Hepatitis B serta jangkitan kuman.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ahli keluarga


Siti Najikhah Md Hamin (tengah) menerima surat akuan tawaran penerimaan dermasiswa WEZAS UPSI dariapda Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Mohd Izwan (kiri sekali) di kediamannya, Sekinchan, Selangor. 


Menurut Siti Najikhah: “Allahyarham (bapa) telah mengalami masalah penglihatan sejak empat tahun yang lepas. Puncanya beliau mengidap sakit demam teruk sehinggalah deria penglihatannya kabur. 

"Penglihatannya terhad dan pandangan matanya hanya nampak imej bayang-bayang saja,” cerita Siti Najikhah lagi. Bapanya terlantar selama dua bulan sebelum meninggal dunia pada 13 Mac 2021.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, belum sempat memujuk hatinya yang lara, bonda yang dikasihinya Martini Saleh, 66, yang menghidap penyakit Hepatisis B pula jatuh sakit. 

Setelah enam hari bertarung nyawa di hospital, akhirnya Allahyarhamah ibu terkena jangkitan kuman serta meninggal dunia, pada tarikh 18 Oktober 2021 yang lalu iaitu sekitar tujuh bulan selepas bapanya meninggal dunia.

“Sebagai adik bongsu, saya melihat dan turut rasai penderitaan yang mereka lalui, apabila sering ikut ulang alik ke pusat rawatan di ibu kota. 

"Namun, apa yang lebih menyayat hati, hasil perkahwinan kakak ipar (Noor Azlina) dan abang (Mohd Norhelmi), mereka meninggalkan empat orang anak yang masih kecil iaitu Ifti Inshirah, 15; Aliya, 11; Ariyana, 7; dan Khalisah, 5

"Dalam tempoh empat bulan, saya kehilangan abang dan kakak ipar, anak-anak ini pula kehilangan ibu dan ayah dan menjadi yatim piatu,” jelasnya hiba.

Menurut Siti Najikhah lagi, anak sulung kepada Allahyarham Helmi, Ifti Inshirah berstatus orang kelainan upaya (OKU) dan perlu sentiasa dipantau dan diberi pengawasan kerana adakalanya Ifti akan diserang sawan dengan tidak disangka-sangka.



Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam Pendidikan Islam itu berkata, selepas pemergian kedua ibu bapa mereka, anak-anak buahnya yang kini tiada tempat bergantung dan menjadi amanah keluarga Siti Najikhah dan nenek di sebelah ibu mereka.

“Selepas pemergian ibu dan ayah, mahu tidak mahu, saya perlu menggalas tanggungjawab menjadi penjaga anak-anak buah. Terdahulu, abang sulung saya juga Mhd Darul Aman Md Hamin, 44, telah meninggal dunia pada bulan Mac sekitar tahun 2016 akibat penyakit yang sama dihidapi ibu, Hepatitis B dengan meninggalkan seorang balu, Siti Saadiah Sajiman dan lima orang anak,” ujarnya.

Mengakui emosinya agak terkesan apabila berhadapan dengan situasi yang agak berat lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang tidak mempunyai pendapatan apatah lagi masih menuntut di UPSI, bagaimanapun Siti Najikhah akui reda dengan ketentuan yang tertulis untuknya.

“Sesungguhnya hati saya luluh, tetapi saya akui, saya perlu cekal untuk hadapi cabaran ini. Melihatkan seorang demi seorang ahli keluarga saya pergi, saya tahu ini memang ujian yang Allah berikan pada saya. Namun saya tahu, ujian ini saya mampu harungi kerana Dia hanya uji pada hamba-Nya yang mampu hadapinya,” jelasnya mengawal emosi.



Prihatin terhadap warganya, UPSI tampil untuk menyampaikan sumbangan dermasiswa kepada Siti Najikhah di kediamannya, Kampung Batu 23 Sungai Nibong, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril berkata Pusat Wakaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2020 merupakan salah sebuah inisiatif universiti menyantuni golongan sasaran warganya melalui pelbagai kaedah antaranya bantuan dermasiswa, sara hidup, yuran pengajian, bantuan khas Covid-19, bantuan laptop, pemberian data internet serta khairat kematian.

“Melihatkan keadaan pelajar yang hilang tempat bergantung serta tidak mempunyai pendapatan selepas kehilangan ahli keluarga, pihak universiti bermurah hati menyampaikan sumbangan berbentuk dermasiswa sebanyak RM1,500 kepada Siti Najikhah sehingga tamat semester dengan harapan dia teruskan pengajian dan mencapai kejayaan cemerlang,” jelasnya ketika ditemui.

Menurut Mohd Izwan lagi, pihaknya akan mempertimbangkan pemberian bantuan sara hidup tambahan untuk Siti Najikha kelak.

“Sungguhpun WEZAS UPSI masih baru ditubuhkan, Seramai lebih 9,000 pelajar dengan bantuan sebanyak RM3.1 juta telah berjaya diagihkan. Bagaimanapun WEZAS UPSI mempelawa mana-mana badan korporat yang berhasrat menyumbangkan zakat mereka boleh menghubungi talian 05-4506994,” jelasnya lagi. - KitaReporters

8
12
0
8
0
You will be interested