Kampus & Pendidikan 30 Aug, 2022

Bukan cinta biasa-biasa! UPM lancar kempen Cinta Pada Ilmu! Melalui ruang read@Uni Laman Al-Falah!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


CINTA itu kosa katanya sangat luas. Bukan hanya tertakluk pada cinta sesama manusia tetapi juga kepada ilmu. Cinta sesama manusia terkadang menggores hati dan rasa tetapi cinta kepada ilmu insya-Allah menjadi bekalan selamanya. 

Bagaimana menanam rasa cinta terhadap ilmu itu? Jawapannya tak lain tak bukan ialah dengan membaca.

Justeru, mengambil langkah memupuk budaya membaca, Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) telah memaksimumkan penggunaan ruang read@Uni Laman Al-Falah dengan melancarkan kempen Cinta Pada Ilmu pada 1 Ogos 2022 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan membaca buku

Dr. Arba'ie Sujud bersama Pengurusan Persatuan Alumni.


Kempen yang dirasmikan oleh Pengarah ARCUPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud itu dihidupkan dengan beberapa siri perkongsian ilmu daripada para pegawai dan staff ARCUPM pada setiap minggu

Perkongsian ini terdiri daripada anatosi buku, kisah-kisah teladan daripada filem, kisah sebuah kehidupan dan juga sayembara puisi lama

Inisiatif ini adalah untuk menghidupkan perkongsian ilmu dalam kalangan staf dan warga UPM dalam usaha memupuk budaya membaca dan seterusnya ilmu itu dikongsi bersama yang lain.

Program Read@Uni Laman Al-Falah ini salah satu usaha dalam menyemarakkan lagi aura sambutan 50 Tahun UPM yang mana kemuncak sambutannya pada 1 Oktober 2022 iaitu Majlis Sirih Pulang ke Gagang@Homecoming 2022, 50 Tahun UPM, Seluhur Budi Sekalung Kasih, manakala kempen Cinta Pada Ilmu ini juga dilihat bersesuaian dengan seruan ‘Sederap Melangkah Menuju Al-falah’ oleh Dato’. Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia.



Pada majlis pelancaran ini juga, Prof, Madya Dr. Arba’ie Sujud, menyeru kepada semua staf dan warga UPM untuk terus menghidupkan ruang read@uni di Pusat Tanggungjawab masing-masing dalam usaha membudayakan sikap suka membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dan warga UPM khasnya.

“Read@uni Laman Al-Falah merupakan salah satu program  yang dijalankan oleh ARCUPM dan ini adalah satu ruang ataupun platform untuk para alumni, staf dan para pelajar untuk berkongsi ilmu, pandangan maklumat dalam usaha kita mensejahterakan diri dengan pengisian yang bermanfaat. 

"Dengan slogan ‘berilmu berbakti’ program ini dilihat satu usaha kita terus memberi satu dimensi baru dalam membudayakan sikap membaca dan seterusnya berkongsi ilmu yang diperoleh dengan mereka yang lain. 

"Ruang read@uni laman Al-Falah ini juga sebagai satu tanda kesiapsiagaan kita sebagai warga UPM untuk terus menyumbang ilmu masyarakat dan seterusnya memajukan masyarakat dengan kempen Cinta Pada Ilmu ini.

"Apa yang diharapkan agar kempen Cinta Pada Ilmu ini akan terus bersemi, subur dan disemarakkan lagi untuk kita bersama-sama mensejahterakan masyarakat menerusi budaya membaca tidak kira di mana sahaja berada sama di institusi pengajian tinggi, di rumah malah di mana sahaja selagi ada ruang dan peluang untuk menambah ilmu,” ujarnya lagi.


Sesi perkongsian pada setiap minggu di ruang legar read@Uni Laman Al-Falah.


Bagi penyelaras program yang diketuai Nik Hafzaini Nik Hassan, program ini secara tidak langsung memberi ruang kepada staf, alumni dan pelajar untuk memantapkan kemahiran diri terutamanya untuk memberi pengucapan awam.

“Tidak semua ada keyakinan diri yang tinggi untuk berada di khalayak dan menjadi tumpuan. Jadi dengan sesi perkongsian di read@uni Laman Al-Falah ini sekurang-kurangnya menjadi platform untuk mengasah bakat dan meningkatkan keyakinan diri apabila perlu memberi ucapan di hadapan khalayak.

"Ruang ini terbuka untuk sesiapa sahaja berkongsi ilmu, pandangan dan maklumat selagi tidak bertentangan dengan etika universiti dan selagi mana ia memberi manfaat kepada semua terutama warga UPM,” ucap Nik Hafzaini.

Sehingga kini, read@Uni Laman Al-Falah Pusat Perhubungan Alumni sudah mempunyai tiga siri perkongsian yang dimulai oleh Timbalan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Fahmi Azar Mistar yang berkongsi mengenai buku “Tsuku Tazaki Tanpa Warna’ dan “Syarah Hadis 40  Imam Nawawi’ oleh Aida Fitri Peli yang merupakan staf di ARCUPM. - KitaReporters


13
14
0
11
0
You will be interested