Kampus & Pendidikan 05 Jul, 2024

Diari Mama Masscom| Pencapaian akademik vs pengalaman! Laluan mana yang membawa kepada kejayaan?

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Memperoleh kejayaan cemerlang dalam akademik sesuatu yang sering dipandang tinggi oleh masyarakat. Lazimnya pencapaian gred terbaik dalam pelajaran menjanjikan pelbagai ganjaran dalam kehidupan, seperti pekerjaan dan status dalam masyarakat.

Disebabkan persepsi masyarakat yang terlalu memandang tinggi pada pencapaian akademik, tidak hairanlah ramai ibu bapa yang sanggup melabur beratus-ratus dan beribu-ribu ringgit untuk pendidikan anak-anak termasuk dari peringkat prasekolah sehingga kolej dan universiti.

Ada ibu bapa yang sudah membuat perancangan awal untuk anak-anak sejak mereka pada peringkat tadika lagi. Pada usia yang masih mentah dan sepatutnya mereka ini bergembira menikmati zaman kanak-kanak, ibu bapa telah meletakkan harapan yang sangat tinggi untuk anak anak ini berjaya dalam pendidikan akademik. 

Ketaksuban ibubapa dalam merancang pencapaian akademik anak-anak adakalanya membuatkan anak-anak rasa sangat tertekan.

Tidak hairan, jika kita lihat anak-anak pada peringkat sekolah rendah sudah mengalami tekanan apabila mereka gagal mencapai pencapaian terbaik di sekolah. 

Kes anak lari daripada rumah kerana tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan, kes bunuh diri pelajar kerana gagal mendapat keputusan cemerlang adalah antara contoh tekanan yang dihadapi kanak-kanak dan pelajar zaman sekarang kerana ketaksuban ibu bapa terhadap pencapaian akademik anak-anak. 



Tidak dinafikan mereka yang mempunyai pencapaian akademik yang baik adalah golongan  yang berilmu dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Tetapi kita juga tidak harus lupa bahawa manusia ini dijadikan Allah dengan pelbagai potensi diri dan bakat serta kebolehan bagi mentadbir dunia. 

Setiap orang mempunyai  keistimewaan dan kebolehan masing-masing, untuk dimanfaatkan kepada masyarakat dan negara. Gabungan mereka inilah yang menjadikan dunia sebuah tempat yang harmoni dan saling bergantungan antara satu sama lain.

Masyarakat tidak seharusnya memandang rendah mereka yang tidak berpelajaran tinggi. Ini kerana setiap manusia mempunyai peranan mereka masing-masing dalam kehidupan bermasyarakat. 

Peranan setiap orang dalam masyarakat sangat penting. Walaupun mereka itu seorang pekerja pembersihan atau mengutip sampah, peranan mereka tetap besar dalam masyakat dan kehidupan kita. Tanpa mereka kita akan duduk dalam persekitaran yang kotor. 

Kehidupan dalam masyarakat adalah saling bergantungan. Jangan merendahkan mereka yang, tidak berpendidikan tinggi, kerana adakalanya kemahiran hidup seseorang itu lebih menjamin masa depan mereka.

Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memperkembang bakat yang ada pada anak-anak mereka untuk digilap menjadi anak anak yang cemerlang dalam bidang yang mereka minati. 

Beri peluang kepada anak-anak memperkembang bakat dan apa juga kemahiran yang mereka ada sebagai persediaan menghadapi kehidupan bila mereka dewasa nanti. 

Ibu bapa mungkin lebih mengenali dan tahu potensi anak-anak. Dengan itu merekalah yang seharusnya membimbing anak-anak dan mencorakkan masa depan mereka mengikut kebolehan dan bakat yang ada. Jangan terlalu mengongkong dan mendesak anak-anak mengikut kehendak ibu bapa. 

Ini kerana anak-anak boleh memberontak dan terjebak dengan perkara yang tidak diingini kerana tertekan dengan sikap ibu bapa yang memaksa mereka melakukan sesuatu di luar kemampuan anak-anak. 

Selain memperkembangkan bakat dan kebolehan anak-anak, ibu bapa juga haruskan membekalkan anak-anak dengan ilmu kerohanian iaitu akhlak dan pegangan agama yang kukuh agar mereka dapat membesar sebagai insan yang berilmu, berakhlak dan berperibadi mulia. 

Pendekatan mendidik anak-anak mestilah secara holistik dan sejajar dengan zaman mereka. Seperti kata Saidina Omar Al Khatab “ Didiklah anak-anak mu mengikut zaman mereka.” 



Justeru ibu bapa zaman sekarang perlu memikirkan masa depan anak-anak dengan lebih terbuka, kerana kehidupan yang sangat mencabar pada zaman teknologi di hujung jari ini akan melahirkan ramai insan yang bijak dan berjaya yang bukan sahaja dari segi pencapaian akademik tetapi juga daripada golongan yang bijak dalam ilmu kemahiran hidup.

Natijahnya pendidikan dan pembelajaran mempunyai makna yang luas. Jangan disempitkan pemikiran kita dengan merujuk kejayaan anak-anak hanya melalui pencapaian akademik yang baik dan cemerlang. 

Kehidupan ini perlu digarap dengan pelbagai perkara, ilmu, agama, sosial, budaya dan masyarakat. Ini supaya mereka dapat menjadi masyarakat yang cemerlang bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti. - KitaReporters

18
10
0
16
1
You will be interested