Kampus & Pendidikan 22 Jun, 2025

Reformasi pendidikan! Rapatkan jurang mutu dan prasarana! 1,000 jadi Sekolah Angkat Madani! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Kerajaan Malaysia Madani menyasarkan untuk mengangkat 1,000 buah sekolah di seluruh negara sebagai Sekolah Angkat Madani bagi merapatkan jurang mutu pendidikan dan prasarana antara sekolah di kota dan luar bandar

Setiap organisasi yang menyertai Program Sekolah Angkat Madani akan menyalurkan sokongan berterusan dari segi kewangan, penambahbaikan akademik, serta latihan dan pembangunan kapasiti untuk sekolah dan murid-murid di bawah program ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian sewaktu meluncurkan Program Sekolah Angkat Madani di Putrajaya pada 20 Jun 2025.



"Saya maklumkan hadirin bahawa inisiatif ini menghimpunkan tenaga Kerajaan Madani, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan sektor swasta untuk mengangkat 1,000 buah sekolah di seantero negara.

"Setiap organisasi yang mengambil sekolah angkat, memikul amanah besar untuk merapatkan jurang mutu pendidikan dan prasarana antara sekolah di kota dan luar bandar," jelas beliau.

Anwar berharap rakan-rakan Sekolah Angkat Madani ini akan menyalurkan sokongan berterusan dari segi kewangan, penambahbaikan akademik, serta latihan dan pembangunan kapasiti.



"Program ini amat dekat di hati saya malah saya percaya bahawa pendidikan ialah azimat yang mampu membebaskan anak-anak kita daripada kepompong kemiskinan.

"Sungguhpun Kerajaan Madani telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan sehingga mencecah RM64 bilion tahun ini, jumlah itu belum mencukupi untuk membetulkan kebobrokan yang telah berakar sekian lama memandangkan sehingga hari ini, masih ada anak-anak kita yang terpaksa berjalan berjam-lamanya demi ke sekolah yang serba daif.

"Ikhtiar menjayakan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan nasional memerlukan iltizam bersama, justeru, saya amat menghargai komitmen semua pihak yang menyertai Program Sekolah Angkat Madani demi masa depan anak-anak kita dan kelangsungan negara," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
15
0
18
0
You will be interested