
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, mencipta kecemerlangan apabila dua program utamanya iaitu Pengiklanan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak diiktiraf untuk menerima Employers’ Choice Award (Anugerah Pilihan Majikan) 2025 daripada Talentbank melalui penarafan rasmi dalam Talentbank’s National Graduate Employability Index (GE Index 2025) baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata pengiktirafan itu diberikan berdasarkan penarafan kebolehpasaran graduan mengikuti bidang pengajian menjadi rujukan penting kepada lepasan sekolah dan ibu bapa dalam memilih institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjanjikan peluang kerjaya lebih cerah selepas tamat belajar.

Dr. Sharul Effendy Janudin menerima anugerah daripada wakil PayNet sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho sempena Majlis Anugerah Employers’ Choice Talentbank 2025 yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur.
Menurut beliau, GE Index memberi keutamaan kepada bidang pengajian yang selari dengan keperluan industri semasa dengan tujuan memastikan pelajar memilih program pengajian yang memberikan nilai tambah sebenar kepada masa depan kerjaya mereka.
Pemeringkatan itu, katanya, menampilkan institusi yang mempunyai rekod cemerlang dalam melahirkan graduan sedia kerja (job-ready graduates).
"Graduan UPSI dalam bidang Pengiklanan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak masing-masing menerima penarafan tertinggi, iaitu enam bintang menjadikan kedua-dua program ini antara yang paling diyakini oleh industri dari segi kebolehan, daya tahan dan kesediaan profesional.
“Pengiktirafan ini membuktikan UPSI kekal sebagai pilihan utama dalam membentuk graduan berkemahiran tinggi, bersahsiah dan bersedia menyumbang kepada masyarakat dan industri,” katanya.
Beliau berkata, penilaian itu turut menyumbang kepada peningkatan reputasi institusi pada peringkat nasional dan antarabangsa, keyakinan majikan dalam merekrut graduan UPSI, keutamaan pemilihan dalam kalangan pelajar di samping ibu bapa serta kejayaan alumni yang mencipta impak dalam pelbagai sektor kerjaya.

Dari kiri; Dr. Siti Shuhaida Shukor, Dr. Abdul Halim Masnan, Dr. Sharul Effendy serta Dr. Nor Hazlen Kamaruddin selepas menerima Anugerah Employers’ Choice.
Majlis penganugerahan itu diadakan pada 22 April 2025 lalu yang berlangsung di EQ, Kuala Lumpur, bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Talentbank dan Rumah Terbuka Hari Raya.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah EDGE Profesor Madya Dr. Sharul Effendy Janudin; Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor; Wakil Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan serta Penyelaras Program Reka Bentuk (Pengiklanan), Dr. Nor Hazlen Kamaruddin.
Pengiktirafan itu turut membuktikan kejayaan UPSI dalam mengukuhkan kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan hanya melahirkan bakal pendidik malah menghasilkan graduan berwibawa apabila menjadi pilihan strategik pihak industri. - KitaReporters