Kampus & Pendidikan 14 Aug, 2024

Terbaiklah UMT! Perkenal kempen larangan guna bekas makanan plastik sekali guna di seluruh kampus!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) giat menjalankan siri kempen larangan penggunaan bekas makanan plastik sekali guna di seluruh kampus IPT tersebut. 

Inisiatif itu diperkenal sebagai langkah untuk melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik yang menjadi topik perbincangan hangat dunia ketika ini.

Universiti yang berfokus marin dan sumber akuatik di pantai timur itu telah memperkenalk amalan penjagaan alam sekitar beberapa tahun lalu khususnya melibatkan penganjuran pesta makanan serta sambutan perayaan dengan mengenakan syarat ‘bawa bekas makanan guna semula sendiri’ (bring your own reusable utensils).

Namun usaha itu dilihat perlu diperluas dan kempen kesedaran mengenainya turut dijadikan agenda penting dalam mendidik serta mempromosikan amalan baik dalam kehidupan seharian masyarakat.



Ketua Pusat Pengurusan Lestari UMT, Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai berkata, inisiatif larangan penggunaan plastik makanan sekali guna merupakan langkah proaktif dalam usaha melindungi alam sekitar serta menjimatkan.

“Malaysia menghadapi masalah besar dengan pelupusan sisa makanan. Lebih daripada 16,000 tan makanan dibuang, dengan 45% daripada sisa pepejal ini berakhir di tapak pelupusan setiap hari. 

“Kita juga mengadakan sesi penerangan dan dialog bersama-sama pengusaha kafeteria serta memberikan penjelasan mengenai kesan buruk penggunaan plastik terhadap alam sekitar melalui pencemaran laut, tanah, kerosakan habitat, serta bahaya kepada kesihatan manusia. 

“Untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini, UMT menyediakan alternatif seperti bekas makanan yang boleh digunakan semula serta menggalakkan warga kampus membawa bekas makanan sendiri ketika mengunjungi kafeteria. 

"Di samping itu, universiti juga mengadakan kempen kesedaran bagi mendidik pelajar dan staf tentang kepentingan mengurangkan penggunaan plastik serta implikasi negatifnya terhadap alam sekitar," katanya.



Ujar beliau, plastik memerlukan tempoh masa yang sangat lama untuk terurai.

“Tambahan pula, plastik memerlukan sekurang-kurangnya 400 tahun untuk terurai secara semula jadi seterusnya mampu menimbulkan masalah serius kepada alam sekitar. 

"Ia terurai secara anaerobik, melepaskan gas metana dan karbon dioksida. Kedua-duanya adalah gas rumah hijau yang tepu," katanya lagi.

Menurutnya, lebih 44 peratus sisa buangan itu telah memenuhi tapak pelupusan sampah. 

“Tapak pelupusan di negara ini hampir mencapai kapasiti penuh. Ini telah menyebabkan masalah alam sekitar dan kesihatan yang serius. Selain itu, cecair yang bocor dari tapak pelupusan ini mencemarkan sungai di seluruh negara," kata Dr. Chia.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyifatkan inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Larangan ini bukan sahaja melibatkan kafeteria di universiti, tetapi juga akan diperkenal dalam seluruh acara dan aktiviti yang diadakan di kampus," katanya.

Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja untuk kebaikan generasi kini, tetapi juga untuk memastikan masa depan yang lebih hijau dan lestari bagi generasi akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
7
0
13
0
You will be interested