BETAPA bertuahnya bagi 200 pelajar daripada keluarga B40 yang kerana London School of Business and Finance (LSBF) mahu menawarkan peluang biasiswa penuh bernilai RM5 juta untuk pengambilan pelajar baharu sebaik saja kampus terbaharunya di Jalan Hang Lekiu memulakan pengajian pada Oktober 2024, sempena pembukaan cawangan kolej itu di Kuala Lumpur pada 25 September 2023.
Seandainya sebelum ini pelajar cemerlang dalam peperiksaan dan tidak mampu ke luar negara bagi mendapat pendidikan betaraf dunia, kini tawaran terbuka luas untuk "duduk sama tinggi" dengan pelajar dari pelosok dunia, menggapai peluang membina kerjaya pelbagai sektor pekerjaan dalam bidang perniagaan dan kewangan peringkat antarabangsa dan sekali gus mampu membaiki mengubah nasib keluarga.
Ts Mustapha Sakmud merasmikan pembukaan LSBF College Malaysia di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud memohon supaya biasiswa percuma itu turut diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak untuk membolehkan mereka menikmati pengajian bertaraf dunia yang disediakan oleh LSBF College Malaysia yang merupakan sebuah institusi terbentuk daripada sebuah keluarga besar di bawah London School of Business and Finance yang beribu pejabat di United Kingdom.
"Kampus Malaysia adalah yang ketiga selepas Singapura dan ini merupakan kemakmuran pendidikan yang kerajaan sedang fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Global untuk pendidikan di Asia Tenggara.
"Kita sangat mengalu-alukan pembukaan kampus LSBF ini yang sudah 21 tahun berpengalaman bagi mencapai matlamat membawa pendidikan berkualiti tinggi di negara ini.
"Oleh yang demikian saya mengalu-alukan kemasukkan LSBF ke dalam negara ini untuk turut serta menyumbang kepada industri pendidikan tinggi di negara ini.
"Impian kita selama ini ialah untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada destinasi penting di muka bumi ini," katanya dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim merasmikan kampus itu di Kuala Lumpur.
Saya mohon biasiswa ni dapat disalurkan untuk Sabah dan Sarawak juga, demikian kata Ts Mustapha yang juga Ahli Parlimen bagi Sepanggar, Sabah.
Beliau yang berkelulusan jurutera dari Universiti Malaysia Sabah pada 2007 dan Universiti of Aberdeen Scotland, turut merasakan betapa bertuahnya dan suasana pembelajaran yang disediakan oleh kampus itu nanti.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah LSBF, Alan Diaz; Ketua Eksekutif, LSBF Global, Rathakrishnan Govind; Penasihat LSBF College Malaysia, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon; Pengarah LSBF College Malaysia, Dr Sajilal Divakaran; dan Pengarah, Bahagian Standard Swasta, Husaini Amir Azizan, serta wakil pusat pengajian kampus Singapura, tenaga pengajar dan tetamu kehormat.
Ts Mustapha (tengah) bersama dengan tokoh akademik LSBF London dan Malaysia.
Ts Mustapha berkata pembukaan kampus LSBF College Malaysia ini memberi peluang kepada pelajar membina karier yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa tanpa perlu ke luar negara.
"LSBF akan menjadi tapak negara melahirkan pelajar masa depan. Dalam keadaan dunia digital, pendidikan bukan lagi sesuatu yang mewah tetapi paling penting kerana dalam bidang industri teknologi tinggi yang kian pesat daripada kesihatan kepada kewangan, pengetahuan menjadi asas mengemudi kehidupan harian kita," katanya.
Contoh, katanya lagi, kecerdasan buatan atau AI menukar cara kerja, tatacara kehidupan dan pembelajaran, maka ia perlu dikendalikan oleh mereka yang cekap dalam bidang itu.
"Kita memerlukan pakar dalam mengendalikan AI. Pelajar perlu dilatih dalalm bidang ini untuk mengendalikan teknologi ini bukan saja tempatan tetapi juga setaraf global." katanya.
Lebih menarik LSBF College Malaysia berfungsi bukan saja ke arah kegemilangan pendidikan tetapi membentuk keperibadian pelajar terutama Generasi Z berinspirasi masa depan agar mereka seiring dengan peredaran teknologi dan mengemudi kerjaya peringkat global.
Sementara itu, Ketua Eksekutif, LSBF Global, Rathakrishnan Govind berkata kampus induk LSBF di London sudah mendidik lebih 38,000 pelajar seluruh dunia dan dalam pelbagai pengajian bisnes, kewangan dan kelayakan profesional melalui kuliah dan dalam talian.
Pemilihan Malaysia sebagai kampus terbaru selepas Singapura apabila memikir kos sara hidup, yuran, layanan mesra rakyat negara ini dan kehidupan harmoni sangat selesa.
Acuan budaya itu adalah daya penarik utama kepada LSBF untuk membuka kampus baru sebagai sebahagian daripada penggemudi Hab Pendidikan Global di Asia Tenggara.
Taraf hidup yang stabil dan sederhana dan segala kemudahan asas serta akan mendorong pelajar seluruh dunia untuk ke sini belajar dan memahami cara hidup rakyat yang bercitarasa Melayu, India, Cina, Sabah dan Sarawak.
Pengerusi Lembaga Pengarah LSBF, Alan Diaz pula menceritakan pihaknya sudah tiga tahun berangan untuk membuka kampus baharu di negara ini dan bangga kerana diberi peluang berkhidmat kepada penduduk negara ini dan seluruh dunia.
"Kali ini rasa berbaloi menaiki penerbangan selama 24 jam untuk sampai ke sini dan melihat perubahan besar mengubah suai bangunan ini kepada sebuah kolej yang moden dan bergaya sesuai dengan strategi pembelajaran dan membina kehidupan yang selesa." katanya. - KitaReporters.com