Kampus & Pendidikan 20 Aug, 2024

Islamic Global School Network Ke-10! USIM himpun 110 pelajar antarabangsa dari Indonesia, Thailand!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada [email protected]

Share this

 


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut kedatangan 110 pelajar peringkat Sekolah Menengah Tinggi dari lima buah sekolah dari Indonesia dan Thailand melalui penganjuran program 10th Islamic Global School Network (Rangkaian Sekolah Islam Sedunia atau IGSN) selama 7 hari bermula pada 18 Ogos hingga 24 Ogos 2024 ini.

Para peserta adalah dari Sekolah Menengah (SM) Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 2 Kota Malang, ⁠SM MAN 2 Ponorogo, serta Sekolah Menengah Atas (SMA) Al-Muttaqin di Indonesia; dan Sekolah Islamic Science Demonstration (ISDS) serta Sekolah Chongraksat Wittaya, Thailand.



Dalam ucapan pembukaannya, Profesor Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ Taib, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik) USIM menekankan bahawa USIM kini giat melaksanakan program mobiliti berdasarkan pelancongan pendidikan atau edupelancongan di mana ia menjadi platform untuk mempamerkan Malaysia melalui Pendidikan Tinggi sebagai hab pendidikan antarabangsa. 

Ini juga selaras dengan aspirasi dan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mencapai angka 250,000 kemasukan pelajar antarabangsa pada tahun 2025 melalui program mobiliti seperti ini.

Beliau berkata lagi, Jambori IGSN adalah program yang unik kerana sejak penubuhannya, program ini sentiasa mendapat tempat di hati pelajar antarabangsa, terutama dari Indonesia. Kerana ia mengadaptasi elemen edupelancongan yang mampu menyerlahkan budaya komuniti tempatan dan kehidupan di kampus dalam tempoh satu (1) minggu yang diisi dengan program yang cukup efektif dan menyeluruh.



Sementara itu, Dr. Fauziah Hasan Pengarah USIM ‘Alamiyyah berkata, IGSN merupakan program mobiliti inbound dan menjadi program flagship di USIM 'Alamiyyah (Pusat Antarabangsa USIM) dengan kerjasama USIM Global Buddies.

Ujarnya lagi, simbolik kepada penganjuran IGSN yang ke-10 pada tahun ini (2024), USIM menyasarkan untuk mewujudkan sebuah konsortium yang akan memberi platform kepada sekolah-sekolah antarabangsa untuk mendapat maklumat mengenai program akademik dan bukan akademik yang dianjurkan oleh USIM, sekali gus dapat meningkatkan keterlihatan USIM pada peringkat global.



Pada majlis yang sama turut diadakan sesi menandatangani dokumen Surat Hasrat (LoI) sebagai tanda permulaan kerjasama dan sinergi yang proaktif serta tanda ikatan yang kukuh dengan sekolah-sekolah yang akan menjadi penyalur kepada USIM untuk mengikuti program pada peringkat sarjana muda dan seterusnya ke peringkat lanjutan.

Objektif program IGSN termasuklah menyokong aktiviti kepimpinan di bawah elemen holistik Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM, memberi pendedahan holistik yang merangkumi aspek akademik, kepimpinan, sukan, budaya dan sahsiah serta rohani di samping memberi pendedahan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berkaitan integrasi budaya, bahasa dan kehidupan di kampus. 

Ia juga menjadi platform mempromosikan kemasukan pelajar antarabangsa mengikuti pengajian Prasiswazah di USIM.

Sepanjang program ini, para peserta terlibat dalam aktiviti integrasi budaya melalui pembentangan dan persembahan, lawatan sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka serta aktiviti sukan dan riadah di dalam kampus. - KitaReporters


 

11
11
0
12
0
You will be interested