Kampus & Pendidikan 27 Aug, 2023

Keinginan ubah nasib tak kesampaian! 100 pelajar perempuan Afghan dihalang sambung belajar ke UAE!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this

Pelajar perempuan Afghanistan terseksa susulan tindakan kejam Taliban yang menghalang semua hak golongan berkenaan termasuk hak mendapatkan pendidikan.


KESEDARAN untuk mengubah nasib sudah ada namun tetap terhalang… Itulah nasib malang yang berlaku kepada seluruh kaum wanita di Afghanistan pada masa ini.

Keinginan untuk mengubah nasib kehidupan dan keluarga tetap diteruskan meskipun pentadbiran Taliban bertindak tidak adil dan tidak memberikan hak asasi kepada kaum wanita di negara berkenaan.

Mereka disekat dari pelbagai sudut bukan sahaja pendidikan tetapi juga hak untuk bekerja, bersosial dan juga berhibur.


 


Terbaharu, Taliban didakwa menghalang kira-kira 100 pelajar perempuan yang menerima biasiswa  untuk menyambung pengajian ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika mereka mahu menaiki pesawat.

Pengerusi Pengasas Kumpulan Al Habtoor, Khalaf Ahmad Al Habtoor berkata, beliau berhasrat untuk menaja pelajar perempuan itu ke universiti dan telah menempah pesawat khas kepada pelajar berkenaan.

Namun malangnya hasrat jutawan perniagaan tidak kesampaian apabila Taliban enggan membenarkan pelajar untuk belajar di UAE.

Lebih kejam kesemua 100 pelajar perempuan berkenaan sudah pun berada di lapangan terbang dan tidak dibenarkan berlepas meninggalkan Afghanistan. 

 “Kami telah mengatur segala-galanya untuk mereka di sini (UAE), penginapan, pendidikan, keselamatan pengangkutan,” katanya seperti dipetik oleh voanews.com. 


 

Pelajar wanita Afghanistan terkandas di Lapangan Terbang Kabul selepas pihak berkuasa tidak membenarkan mereka meninggalkan negara itu.


Sementara itu, seorang pelajar yang terpilih untuk menyambung pengajian ke UAE mengakui terlalu kecewa dengan tindakan Taliban.

Pelajar berkenaan mengakui telah memenuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuklah membawa seorang pengiring lelaki ketika melakukan perjalanan ke UAE.

Namun apabila tiba di Lapangan Terbang Kabul pihak berkuasa tidak membenarkan semua pelajar berkenaan menaiki pesawat.

“Kami sekarang berada di lapangan terbang, tetapi malangnya kerajaan tidak membenarkan kami ke Dubai, mereka tidak membenarkan mereka yang tidak mempunyai mahram.

“Apabila Taliban melihat visa dan tiket pelajar, mereka tidak membenarkan kami menaiki pesawat.

 “Saya tak tahu nak buat apa. Tolong bantu kami. Kami sangat bimbang dengan perkara ini,” katanya yang enggan mendedahkan namanya demi keselamatan.


Kesemua 100 pelajar perempuan Afghanistan tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Dubai walaupun telah memenuhi peraturan yang ditetapkan oleh Taliban.


Kesemua 100 pelajar Wanita berkenaan kini nekad berhijrah dan menyambung pengajian di luar negara susulan tindakan Taliban yang berat sebelah terhadap kaum Hawa di negara berkenaan.

Sebelum ini, pentadbiran Taliban menutup universiti dan sekolah menengah kepada pelajar perempuan di Afghanistan.

Malah kaum wanita dilarang berhibur menyebabkan pusat gimnasium dan taman permainan ditutup kepada kumpulan berkenaan selain mengarahkan pusat kecantikan wanita juga ditutup.

Bagaimanapun sehingga kini pihak berkuasa Taliban tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tindakan berkenaan. - KitaReporters


Wanita tidak dibenarkan meneruskan pengajian di universiti selepas Taliban berkuasa di Afghanistan

11
12
0
12
0
You will be interested