Kampus & Pendidikan 19 Aug, 2023

Generasi Remaja Jiwa Merdeka! SMK Bukit Kepayang meriah kibar Jalur Gemilang! Pupuk Malaysia Madani!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil.

Share this

SEBAHAGIAN pelajar mengibar Jalur Gemilang sempena Program Generasi Remaja Jiwa Merdeka Peringkat Negeri Sembilan di SMK Bukit Kepayang, Seremban 2 baru-baru ini. - Kredit gambar: Pertubuhan Pengasih India Negeri Sembilan

Sempena meraikan sambutan bulan kemerdekaan negara, seramai 1,100 orang pelajar termasuk guru telah memeriahkan Program Generasi Remaja Jiwa Merdeka Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung pada 10 Ogos lalu.

Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang di Seremban 2, Negeri Sembilan, para pelajar dan guru-guru dilihat begitu bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan bendera kebanggaan Malaysia.

Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Pengasih India Negeri Sembilan dengan kerjasama Unit Ukhuwah Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan SMK Bukit Kepayang. 


Ustaz Ismail Abdullah (empat dari kiri) teruja dengan sambutan yang diterima pada program tersebut termasuk kehadiran tetamu kehormat, Undang Luak Johol, Muhammad Abdullah. (empat dari kanan).


Menurut Presiden Pertubuhan Pengasih India Negeri Sembilan, Ustaz Ismail Abdullah, pihaknya gembira kerana program yang dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta.

"Bermula seawal pukul 7.30 pagi, terdapat pelbagai acara diatur bagi memeriahkan program ini. Selain mengibarkan Jalur Gemilang, turut diadakan persembahan silat, nyanyian lagu Negaraku, persembahan tarian kebudayaan bagi kaum Melayu, Cina dan India serta nyanyian solo oleh pelajar terlibat.


ANTARA persembahan menarik para pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang sambil memakai alatan khas skyrunner.


"Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Dato' Muhammad Abdullah selaku Undang Luak Johol bersama isterinya, Yang Teramat Mulia Tok Puan Faridah Hanum Jaafar.

"Alhamdulillah, secara keseluruhannya program ini berjaya mencapai objektif dalam usaha memupuk semangat cintakan negara kepada para pelajar," kata Ustaz  Ismail.


PROGRAM Generasi Remaja Jiwa Merdeka Peringkat Negeri Sembilan ini disertai 1,100 pelajar termasuk guru-guru.


Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan, Dr Roslan Hussin; Pengetua SMK Bukit Kepayang, Puan Suhana Sabran dan Penolong Pengarah Kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ustaz Johari Bujang.

Bendera Jalur Gemilang turut diberikan kepada wakil-wakil sekolah dari SMK Bukit Mewah, SMK Seremban 2, SK Taman Tuanku Jaafar, SK Wawasan, SK Seremban 2A, SK Seremban 2B, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Convent dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua. 

Majlis berakhir pada pukul 11 pagi dengan nyanyian beramai-ramai lagu Malaysia Madani. - KitaReporters


PARA pelajar yang terlibat dalam persembahan kebudayaan dalam program tersebut.

14
11
0
7
0
You will be interested