Kampus & Pendidikan 24 Aug, 2025

Teori je tak cukup! 23 pelajar anjur Program Pelukan Kasih di Mahmudah! Praktikkan khidmat masyarakat!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Siti Aishah Junaidi (berdiri, kanan) dan Ahmad Muizzuddin Mustapa Kamal (berdiri, dua dari kanan) menyantuni warga emas yang terbabit dalam aktiviti mewarna.


“Saya membawa pelajar ke lapangan untuk meningkatkan lagi kefahaman mereka supaya dapat mengalami secara langsung konsep dan teori yang dipelajari dalam bilik kuliah di samping menzahirkan rasa seronok belajar.

“Dengan memberi pengalaman nyata serta mendalami lagi subjek yang dipelajari di tempat yang dikunjungi itu juga akan memberi pengalaman baharu apabila berada dalam komuniti masyarakat pelbagai ragam dan pemikiran,” kata Pensyarah German Malaysia Institute (GMI), Kajang, Selangor, Siti Aishah Junaidi.

Beliau hadir di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) untuk mengadakan program Pelukan Kasih bagi subjek Khidmat Masyarakat disertai 23 pelajar semester tiga yang menjayakan pelbagai aktiviti bersama-sama warga emas, pada 18 Ogos 2025.

Menurutnya, dia mengesyorkan kepada pelajar supaya mempraktikan kaedah menyantuni dan berkomunikasi dengan orang tua secara berhemah kerana golongan itu terlalu sensitif disebabkan faktor usia serta dipinggirkan ahli keluarga di pusat jagaan.


Warga emas, Johari (duduk kiri) mencabar rakan-rakan dalam permainan dam ular sambil disantuni pelajar GMI.  


Tambahnya, dia memaklumkan kepada pelajar warga emas itu lazimnya mempunyai sejarah perjalanan hidup yang berbeza antara satu sama lain dan apabila hendak memulakan perbualan perlulah memikirkan cara terbaik seperti berlemah lembut di samping tidak terlalu banyak bertanyakan soalan. 

Jelasnya, pelajar perlu memahami tidak semua warga emas itu berasa seronok atau gembira menghuni pusat jagaan kerana sesetengah mereka terpaksa kerana hilang tempat bergantung hidup malah tidak dipedulikan oleh ahli keluarga khusus anak sendiri.

“Jadi setiap pelajar akan mempraktikkan teori yang dipelajari dalam bilik kuliah untuk mendekatkan diri dengan warga emas terbabit sehingga mereka berasa senang hati untuk berbual, beramah mesra dan menceritakan sejarah hidup apabila soalan diajukan.

“Apabila keadaan menjadi akrab maka tiada masalah untuk pelajar menarik perhatian warga emas ini menjayakan aktiviti dijalankan bagi membantu meredakan rasa stress yang akan menimbulkan rasa seronok dan gembira apabila disantuni dengan baik,” ujarnya yang juga penyelia program berkenaan.


Warga emas PJMM berentap dengan rakan-rakan dalam permainan bingo.


Program selama empat jam yang bermula jam 8 pagi itu dimulakan dengan senamrobik dan kemudian diikuti aktiviti bersua muka untuk beramah mesra bersama-sama warga emas sebelum diadakan aktiviti mewarna, bingo, dam ular, permainan karom dan sesi berkaraoke.

Siti Aishah berkata, dia berkeyakinan program itu memberi sesuatu yang bermanfaat kepada pelajar dalam mendalami kaedah berkomunkasi apabila berdepan dengan warga emas atau orang lebih tua di lapangan yang sebenar termasuk selepas mereka berkerjaya.

Tambahnya, program itu juga memberi nilai positif kepada pelajar terbabit apabila meneruskan pembelajaran dalam bilik kuliah terutama dapat mengumpul pelbagai maklumat khusus mengenai menyantuni serta berkomunikasi dengan warga emas secara betul.


Warga emas, Pak Muein menerima cenderamata daripada Siti Aishah.


Pengarah program berkenaan, Ahmad Muizzuddin Mustapa Kamal, berkata sebagai seorang pelajar, program itu mendekatkan jiwa orang muda sepertinya dengan warga emas yang melalui pelbagai sejarah kehidupan sebelum terdampar di pusat jagaan.

Menurutnya, apabila menemui mereka untuk beramah mesra, ia memerlukan kesabaran ketika berkomunikasi kerana sesetengahnya sudah kurang daya ingatan dan terpaksa berulang kali bertanyakan soalan, namun kami tidak berasa kecewa.

Jelasnya, dalam bilik kuliah mereka sudah diajar secara teori bagaimana cara menangani situasi sebegini malah kadang-kadang timbul kelucuan kerana lain yang ditanya lain pula yang dijawab, namun warga emas berkenaan tetap menunjukkan wajah ceria dan berasa seronok disantuni.

“Kami berterima kasih kepada pensyarah kerana mengesyorkan program sebegini yang memberi peluang untuk mempraktikkan apa yang dipelajari di dalam bilik kuliah manakala maklumat atau info yang diperolehi akan dibincangkan bersama-sama bagi membuat rumusan terbaik,” ujarnya. - KitaReporters


Pelajar GMI merakamkan kenangan bersama-sama pengurusan PJMM dan warga emas selepas selesai Program Pelukan Kasih.

17
11
0
10
0
You will be interested