Food truck (kenderaan saji) kini bukan sekadar gerai bergerak untuk menjual makanan. Di kampus, ia sudah berubah menjadi makmal latihan keusahawanan sebenar buat mahasiswa yang mahu mencuba dunia niaga.

Oleh DR HISHAM MOHAMMAD
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Food truck (kenderaan saji) kini bukan sekadar gerai bergerak untuk menjual makanan. Di kampus, ia sudah berubah menjadi makmal latihan keusahawanan sebenar buat mahasiswa yang mahu mencuba dunia niaga.
Dengan kos permulaan yang jauh lebih rendah berbanding restoran, food truck membuka peluang kepada siswa untuk berjinak-jinak tanpa menanggung risiko besar.
Mereka boleh menguji pasaran kecil-kecilan, mencipta menu baharu dan menilai sambutan pelanggan secara langsung.
Universiti Utara Malaysia melalui Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) misalnya, sudah mula melibatkan food truck dalam ekosistem kampus.
Ia bukan sekadar memberi pilihan makanan, tetapi juga ruang eksperimen kepada mahasiswa untuk belajar tentang perniagaan sebenar.

Food truck di kampus kini menjadi inkubator usahawan muda dari aspek pengurusan kewangan, kawalan kos, penjenamaan, sehingga strategi pemasaran digital melalui media sosial. Ia melatih pelajar menghadapi cabaran dunia korporat secara langsung.
Jual makanan secacar mobil ini juga memberi kelebihan tersendiri. Mahasiswa boleh bergerak ke lokasi strategik seperti festival, karnival atau kawasan tumpuan ramai.
Di situ mereka belajar menyesuaikan strategi, berhubung dengan pelanggan dan membina rangkaian dengan rakan industri.

Mobiliti food truck mempunyai kelebihan tersendiri.
Lebih jauh lagi, food truck boleh menjadi platform ujian rintis untuk produk industri. Respons segera pelanggan membantu usahawan menambah baik idea sebelum dilancarkan secara besar-besaran.
Ringkasnya, food truck bukan sahaja mengisi perut warga kampus tetapi juga mengisi minda mahasiswa dengan pengalaman berharga.
Ia adalah ruang latihan yang melahirkan generasi graduan lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing di masa depan.
Dr Hisham Mohammad ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM dan Pengurus Bahagian Pengurusan Perniagaan dan Pelesenan, Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) UUM. Artikel ini adalah pandangan penulis.
