DATA yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 27 Ogos 2025 melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) merekodkan 7,681 kes buli pada 2024, meningkat dari 6,528 kes pada 2023. Majoriti kes berlaku di sekolah menengah.


Kes buli yang membabitkan pelajar MRSM Pulau Pinang.
Angka, trend salah laku dan buli yang meningkat itu sesuatu yang mengejutkan negara dan ia sebagai asas kepada masyarakat bahawa tiada masa untuk bertangguh lagi bagi mendesak kepada pelaksanaan model holistik "sekolah selamat".
Kemudian, Malaysia dikejutkan pula dengan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Oktober 2025.
Polis mengesahkan penahanan suspek lelaki berusia 14 tahun, sementara laporan bedah siasat mendedahkan kecederaan tikaman yang amat serius.
Media juga melaporkan kes rogol berkumpulan dalam kawasan sekolah dan penahanan empat pelajar di Alor Gajah, Melaka pada 11 Oktober 2025, diikuti kes terbaharu di Baling, Kedah pada 16 Oktober 2025.
Pendedahan mengenai kes kematian pelajar asrama yang dikaitkan dengan perbuatan buli di Papar, Sabah pada 16 Julai 2025 terus mencetuskan kebimbangan nasional terhadap budaya membuli dan keselamatan pelajar.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata angka 7,681 kes buli setahun, insiden rogol dan kejadian bunuh yang berlaku di dalam kawasan sekolah adalah isyarat jelas sistem perlu diperkuat sekarang.
Beliau berkata, masyarakat perlu melindungi mangsa, hentikan dan bimbing pelaku melalui disiplin yang terkawal.
Usaha MAPIM berasaskan data bahawa audit keselamatan 30 hari di lokasi panas sekolah perlu dilaksanakan segera, disokong penstrukturan semula pengawasan dan CCTV.
"SOP Insiden 24 jam bertujuan mengesahkan keselamatan mangsa, menyimpan bukti, memaklum kepada ibu bapa, siasatan ringkas dan rujukan agensi untuk kes berat.
"Saluran aduan selamat mengandungi QR dan hotline sekolah perlu digerakkan bersama portal aduan KPM.
"Selain itu, gunakan masjid, sekolah dan keluarga supaya segala hebahan melalui khutbah, usrah dan perjumpaan ibu bapa dapat disampaikan kepada sasaran," katanya.

Mohd Azmi Abdul Hamid.
Beliau meminta KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah, PIBG, PDRM dan AADK menggunakan sistem itu bagi mengekang kejadian buli daripada berleluasa.
"MAPIM mengakui ekosistem digital hari ini menjadi pemangkin kepada pola salah laku pelajar, bermula dari ejekan, hasutan geng sehingga “sextortion” dan pemerasan siber.
"Keyakinan kami berasaskan kepada kajian bahawa mangsa buli siber dalam kalangan remaja sekitar 50 peratus, menjadikan negara antara tertinggi di rantau ini.
"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilapor menurunkan 8,756 kandungan berkaitan buli siber pada 2024, lima kali ganda berbanding 2023, sesuatu yang boleh dianggap kian meruncing.
"Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengiktiraf “gaming disorder” sebagai corak tingkah laku yang menyebabkan kawalan diri terjejas dan meminggirkan tanggungjawab harian sehingga wujud kelompok berisiko yang memerlukan intervensi awal.
"Analisis antarabangsa Meta turut mendapati bahawa permainan video ganas berkait dengan peningkatan tingkah laku dan kognisi agresif. Ia menuntut pemantauan menyeluruh masyarakat terutama ibu bapa," katanya.

Kes adik Zara Qairina, pelajar SMK Agama Tun Dato Mustapha, Papar, Sabah menjadi cerita besar selepas ditemui pengsan di longkang asrama pada 16 Julai 2025 dan meninggal dunia esoknya.
Sementara itu, selari dengan perhatian baharu KPM untuk mengehadkan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah 16 tahun, MAPIM menyokong garis panduan yang jelas, berperingkat-peringkat dan boleh dikuatkuasakan.
"Tetapkan larangan penggunaan ketika waktu PdP untuk murid bawah 16 tahun kecuali untuk kes perubatan dan kecemasan dan kotak simpanan untuk peranti itu di kelas.
"Gunakan kawalan ibu bapa pada peranti dan konsol dengan semakan berkala bersama anak, bukan pengintipan tapi fokus kepada dialog kekeluargaan.
"Kami juga mahu tindakan penguatkuasaan tegas dalam kes sextortion, rogol siber, ugutan dan penyebaran gambar intim mesti dirujuk PDRM dengan segera manakala sekolah dan MAPIM boleh menguruskan untuk memberi perlindungan kepada mangsa selain sokongan trauma," katanya.

Kes buli pelajar perempuan di sebuah sekolah di Kerian, Perak.
Mohd Azmi berkata, telefon pintar dan permainan video tidak berbahaya jika tiada penyalahgunaan kerana ia memberi banyak manfaat tapi apabila disalahgunakan, impak negatifnya amat besar.
"Jika tidak dikawal, ia boleh mewujudkan normalisasi budaya menghina, menghasut dan memeras menerusi skrin.
"Justeru, MAPIM akan bekerjasama dengan KPM, MCMC dan PDRM untuk melaksanakan latihan literasi digital dan bimbingan keluarga supaya hal-hal berkaitan kawalan peranti di rumah dapat diberi perhatian serius," katanya. - KitaReporters