Kampus & Pendidikan 03 May, 2024

Sistem e-MAS MQA! Kukuhkan pentauliahan pendidikan tinggi Malaysia-Indonesia! Mudahkan pengiktirafan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PELANCARAN sistem akreditasi atau pentauliahan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dikenali sebagai ‘Electronic MQA Accreditation System’ atau Sistem Pentauliahan MQA Secara Elektronik (e-MAS) adalah signifikan untuk memudah cara elemen pengiktirafan di samping membuka pintu yang lebih luas untuk pelajar Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia dan pelajar Malaysia menyambung pengajian di Indonesia.

Serentak itu pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MQA dengan Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT), Indonesia berlangsung di sebuah hotel, di Putrajaya bersempena Majlis Tautan Kasih MQA Bersama Media yang dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud, pada 22 April 2024.

Pemeteraian MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Direktur Dewan Eksekutif Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi (BAN-PT), Indonesia, Profesor Dr Ir Ari Purbayanto.

Turut hadir pada majlis pemeteraian MoU itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman; dan Pengerusi Majlis MQA, Tan Sri Mohd Adib Abd Rahman.


Mustapha Sakmud (tengah) melakukan gimit pelancaran Sistem Akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dikenali sebagai ‘Electronic MQA Accreditation System’ atau e-MAS.


Mustapha ketika berucap merasmikan majlis itu, berkata pemeteraian MoU antara dua badan jaminan kualiti yang bakal memudah cara elemen pengiktirafan bersama (mutual recognition), sekali gus memberi impak positif kepada pelajar Indonesia yang melanjutkan pengajian di Malaysia dan begitu juga pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Indonesia.

Menurutnya, selaku badan tunggal yang mengawal selia jaminan kualiti pendidikan tinggi negara, KPT sentiasa menggalakkan MQA untuk mempelopori organisasi jaminan kualiti terutama di Asia Tenggara dan Asia Tengah.

“Melalui Amanat Tahun Baharu KPT 2024, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menggariskan lima fokus utama Kementerian berkenaan.

“Salah satunya ialah Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya yang mana melalui inisiatif ini, KPT menyasarkan untuk memperhebat ekosistem pendigitalan dalam semua proses dan prosedur untuk meningkatkan aksesibiliti serta kebolehcapaian maklumat kepada umum.

“Melalui e-MAS ini, MQA akan menggabung dan mengintegrasikan semua modul-modul pengurusan berkaitan jaminan kualiti dan akreditasi untuk mewujudkan satu platform bersepadu yang memberi nilai tambah dan kemudahan kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini,” katanya.


Mustapha, Mohammad Shatar Sabran dan tetamu kehormat merakamkan kenangan bersama-sama pengamal media pada Majlis Tautan Kasih MQA Bersama Media pada 22 April 2024.


Sementara itu, Mohammad Shatar, berkata BAN-PT merupakan rakan baik MQA yang telah bersama dalam pelbagai konsortium dan jaringan antarabangsa seperti ASEAN Quality Assurance Network (AQAN) dan Council for Higher Education Accreditation (CHEA).

Menurutnya, sebagai salah satu badan jaminan kualiti pendidikan tinggi di Indonesia, BAN-PT memainkan peranan yang penting dalam memastikan penawaran program di universiti Indonesia mencapai standard yang ditetapkan selaras dengan kerangka kelayakan ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF).

Tambahnya, selaras dengan hasrat KPT untuk memperkasa inisiatif pendigitalan, bermula dua tahun lalu (2022), MQA sudah membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai Electronic MQA Accreditation System atau ‘e-MAS’ yang tujuan utamanya adalah untuk mewujudkan satu platform akreditasi pendidikan tinggi yang bersepadu (integrated platform).


Ari Purbayanto (depan, kiri) dan Mohammad Shatar menunjukkan MoU yang ditandatangani bersama.


Jelas beliau, dengan adanya e-MAS ini, pihak berkepentingan terutama pemberi pendidikan tinggi (PPT) akan menikmati kemudahan antaranya termasuklah proses permohonan akreditasi akan dilaksanakan secara 100% dalam talian (online) dan semakan status permohonan boleh diakses hanya di hujung jari tanpa mengira masa (capaian terbuka untuk akses 24 jam).

Menerusi e-MAS juga proses kemasukan data hanya satu kali sahaja, pengenalan sistem pengurusan rekod digital yang sistematik, proses prapendaftaran program dapat dikurangkan, tiada lagi dokumen berbentuk salinan keras (hard copy) yang perlu dihantar ke MQA dan setiap maklumat serta laporan boleh dijana secara automatik.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar, berkata MoU bersama BAN-PT, mengukuhkan lagi hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama berfokus antara kedua-dua agensi. 

Jelas beliau, MoU itu membolehkan pegawai daripada kedua-dua agensi untuk saling bertukar input serta pandangan, melaksanakan inisiatif penandaarasan, berkongsi tatacara dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih efektif.


Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tengah) beramah mesra dengan Mustapha dan Mohammad Shatar.


Tambahnya, dari segi pembangunan kapasiti, MoU berkenaan bakal membuka peluang kepada pegawai daripada kedua-dua agensi bagi mengikuti program pertukaran staf di agensi masing-masing dan seterusnya mengukuhkan kerjasama dalam aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang.

"Kerjasama ini dijangka dapat mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi yang mempunyai sistem jaminan kualiti yang diperakui pada peringkat global.

“Pengwujudan sistem ini selari dengan agenda pendigitalan yang sering diuar-uarkan kerajaan serta Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber),” ujarnya.

Menurut beliau lagi,  sistem baharu itu menggabung dan mengintegrasikan kesemua modul pengurusan berkaitan akreditasi untuk mewujudkan satu platform yang bersepadu dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.

“Antara kelebihan e-MAS ialah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat 100 peratus dalam talian, boleh diakses 24 jam, proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara real-time (masa nyata).

“Sistem ini sudah melepasi fasa pengujian dan pelancaran sistem berkenaan akan dimulakan dengan perintisan 10 institusi pendidikan tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula 22 April 2024,” terangnya.


Mustapha dikerumuni pengamal media untuk ditemu ramah sambil disaksikan Mohammad Shatar dan Megat Sany Megat Ahmad.


Mohammad Shatar, berkata, penganjuran majlis itu juga bertujuan untuk merapatkan lagi ukhuwah yang terjalin antara MQA iaitu merupakan badan berkanun di bawah KPT dengan pengamal media daripada pelbagai agensi.

Menurut beliau, pihaknya amat menghargai sumbangan rakan media yang banyak membantu dalam menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat mengenai fungsi, perkhidmatan serta inisiatif MQA.

"Sebagai satu daripada kumpulan barisan hadapan, peranan yang dimainkan pengamal media cukup signifikan terhadap pembangunan negara sejak sekian lama," ujarnya. - KitaReporters

11
9
0
15
0
You will be interested