Setiap insan yang bergelar mahasiswa pasti ingin merasai detik konvokesyen bersama-sama ahli keluarga dan insan tersayang.

Namun, bagi Muhammad Izzuddin Mohd Radzi, graduan Sarjana Muda Perakaunan, detik penuh bermakna itu terpaksa dilalui seorang diri apabila ayahnya diserang penyakit strok hanya tiga hari sebelum majlis konvokesyen berlangsung.
Segala perancangan keluarga untuk hadir meraikan hari kebanggaan itu terpaksa dibatalkan.
Apa yang sepatutnya menjadi momen indah bersama keluarga bertukar menjadi ujian besar buat dirinya.
“Sebenarnya, saya dah lama tunggu hari ni. Ini satu-satunya majlis graduasi besar yang saya berpeluang raikan dan saya memang nak tunjukkan kejayaan ini kepada keluarga, terutama ayah” katanya dengan nada sebak.
Menurut Izzuddin, ayah dan ibunya merupakan insan yang paling teruja menantikan hari konvokesyen itu.
“Sejak awal semester, saya dan rancang untuk tunjukkan bahawa saya mampu buktikan keupayaan dan bawa kejayaan kepada keluarga. Namun, takdir Allah menentukan sebailknya”.
“Tiga hari sebelum konvo, ayah tiba-tiba diserang strok. Ketika itu saya datang ke UMT untuk mengambil jubah konvo.
"Dalam keadaan tu, saya rasa serba salah sama ada nak tinggalkan ayah untuk hadir ke majlis atau tak datang langsung. Tapi ayah dan ibu kata, teruskan, ini hari penting untuk diraikan walau tanpa keluarga”. ujarnya.

Walaupun hadir berseorangan, Izzuddin tetap melangkah ke Dewan Sultan Mizan dengan hati yang tabah.
“Melihat rakan-rakan lain disambut oleh ibu bapa, dipakaikan jubah dan dipeluk dengan penuh bangga, saya rasa sebak dan terkenangkan keluarga,” ungkapnya sambil menahan sebak.
Namun, di sebalik kesepian itu, hadir kekuatan yang tak disangka daripada para pensyarah dan sahabat-sahabat yang tidak jemu memberi semangat dan sokongan moral.
“Saya hampir tak jadi naik pentas, tapi pensyarah dan kawan-kawan banyak bagi semangat. Mereka beri kata-kata positif dan ingin saya tunjukkan momen konvo di sini kepada ahli keluarga supaya mereka turut berbangga walau dari jauh,” tambahnya.
Bagi Izzuddin, perjalanan empat tahun menuntut ilmu di UMT bukan sekadar perjuangan akademik, tetapi lambang kasih dan pengorbanan keluarga yang tidak ternilai.
“Ayah selalu pesan, belajar bersungguh-sungguh sebab ilmu tu pelita hidup. Hari ni saya tunaikan pesanan tu, walaupun dia tak dapat tengok sendiri,” katanya perlahan.
“Saya percaya, walaupun ayah tak hadir, semangat dan doanya sentiasa bersama saya.
"Hari ni saya raikan bukan untuk diri sendiri, tapi untuk dia”. katanya dengan senyuman yang disulami air mata. - KitaReporters/Kenyataan Media