Kampus & Pendidikan 25 Sep, 2024

RM1j untuk bantu pelajar miskin! TMESA anjur malam amal! Gandingkan Jamal dan Hattan! 14 Dis 2024!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Demi hasrat murni untuk membantu pelajar-pelajar cemerlang tetapi kurang bernasib baik, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud (TMESA) terus komited menganjurkan acara amal sebagai langkah mengumpul dana bagi tujuan tersebut.

Antara acara utama dan terbesar di bawah program ‘Sponsor A Student’ (Taja Seorang Pelajar) yang telah berlangsung sejak 16 tahun lalu, TMESA berjaya membantu lebih 1,000 pelajar-pelajar miskin meneruskan pengajian.

Terbaharu dengan objektif dan tujuan sama, TMESA mengambil pendekatan berubah angin dengan menganjurkan acara makan malam amal  diberi nama ‘Night Of Love & Compassion’ yang jika dialih bahasakan ia bermaksud ‘Malam Cinta & Belas Kasihan’.

Menyasarkan kutipan mencecah RM1 juta, ‘Night of Love & Compassion’ bakal berlangsung pada 14 Disember 2024 ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Dan menariknya, malam amal tersebut akan menyaksikan dua penyanyi legenda terkenal tanah air yang masih “Biso Benor’ iaitu  Dato' Hattan dan Raja Pop Malaysia, Dato' Jamal Abdillah di atas satu pentas.



“Sepanjang dua dekad ini, dengan keringat ahli-ahli pencen ini sahaja, sudah tentu kami kekurangan modal. 

"Hasil perbincangan dengan ahli jawatan kuasa, timbul idea untuk mengadakan acara Night Of Love & Compassion’,” ujar Presiden TMESA, Dato' Muhammad Nasir Hamzah pada media di sidang akhbar yang berlangsung di Sinar Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini. 

Turut bersama kedua-dua penyanyi terbabit, Jamal Abdillah dan Hattan serta beberapa AJK TMESA.

Menurut Muhammad Nasir, TMESA sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar susah terutamanya di sekitar Besut.

“Setiap tahun, kita adakan pelbagai aktiviti demi kesinambungan persatuan kerana asasnya adalah untuk membantu anak-anak di sekolah sekitar Besut khususnya Sekolah Tengku Mahmud,” tambah Muhammad Nasir.

Beliau memaklumkan, dengan sasaran kutipan sebanyak RM1 juta, ia boleh digunakan untuk membantu menambah baik kemudahan-kemudahan di sekolah.

Pada acara ‘Night Of Love & Compassion’ ini, sebanyak 98 meja bakal dijual bermula pada harga seperti di bawah:

  • Bronze - RM4,000 sebanyak 20 meja
  • Silver - RM6,000 sebanyak 20 meja
  • Gold - RM8,000 sebanyak 16 Meja
  • Diamond - RM10,000 sebanyak 16 Meja
  • Platinum - RM15,000 sebanyak 16 meja

“Kami yakin dengan membawa dua penyanyi legenda pada malam tersebut ia bukan sahaja akan mengimbau kenangan lama melalui lagu malar segar mereka tetapi akan menarik lebih ramai ‘penderma’ untuk beramal sambil berhibur,” ujar Muhammad Nasir yakin.


Jamal Abdillah (kanan) dan Hattan.


Sementara itu, baik Jamal mahu pun Hatttan, kedua-duanyanya melahirkan rasa teruja dapat terlibat dalam program amal berkenaan, sekali  gus menyumbang bakti agar pelajar-pelajar yang menerima bantuan tidak tercicir dalam pelajaran.

“Saya bersyukur kerana bakat kecil yang dikurniakan oleh Tuhan ini dapat saya gunakan untuk mengumpul dana dan membantu orang-orang susah terutama pelajar-pelajar sekolah.

“Diharapkan dengan suara saya ini dapat manarik minat orang ramai untuk turut sama membantu usaha ini,” kata penyanyi nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, ini.



Pada masa sama, Hattan memberitahu, beliau sentiasa menyokong penuh usaha amal seperti ini sejak mula berkecimpung di dalam dunia seni.

“Saya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Ini bukan kali pertama saya terlibat dalam program amal untuk membantu murid sekolah.

“Sejak dahulu, saya telah berjanji dengan diri sendiri untuk tidak menolak jika ada undangan daripada pihak-pihak sekolah. Saya faham kerana saya juga pernah susah,” jelas pemilik bernama penuh, Mohd Shukri Shahabudin, 59,  ini.



Jadi bagi individu, ahli korporat atau sesiapa sahaja yang berhajat menikmati jamual amal ‘Night of Love & Compassion’ boleh membuat tempahan dan pembelian meja atau pertanyaan lanjut dengan menghubungi talian 018 223 9934 (Hatta) atau 019 452 4567 (Nik Ahmad). 

Untuk rekod, TMESA telah ditubuhkan pada 2003 dengan objektif utama untuk menjalin hubungan serta mengeratkan silaturrahim alumninya.

Aktiviti amal dan kebajikan TMESA memberi tumpuan khusus kepada bidang pendidikan malah percaya pelajaranlah yang boleh membantu mempertingkatkan kedudukan sosioekonomi seseorang ke tahap yang lebih baik. - KitaReporters

12
10
0
11
0
You will be interested