Gambar hiasan... Bangunan Nanjing Vocational University of Industry Technology (NJUIT).
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, sekali lagi mencipta sejarah pada peringkat antarabangsa apabila komited menandatangani Letter of Intent (LoI) bersama Nanjing Vocational University of Industry Technology (NJUIT) sempena 2024 World Vocational and Technical Education Development Conference (Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional 2024) yang berlangsung di Tianjin, China pada 21 November 2024.
Delegasi UPSI yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar itu turut menyertai sesi pembentangan sempena persidangan berkenaan.
Prof Suriani berkata, LoI yang ditandatangani itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional yang membabitkan pertukaran pelajar dan tenaga pengajar untuk program latihan vokasional, pembangunan kurikulum dan inovasi penyelidikan bersama serta kerjasama dalam penulisan dan penerbitan ilmiah untuk meningkatkan impak global hasil penyelidikan kedua-dua institusi.
Prof Suriani menyampaikan ucapan pada 2024 World Vocational and Technical Education Development Conference yang berlangsung di Tianjin, China.
Beliau turut membentangkan kertas kerja bertajuk “Synergizing Industry and Education: Transforming Vocational Training for Excellence”, yang memberi penekanan mengenai pentingnya wujud sinergi antara industri dan pendidikan dalam mentransformasikan latihan vokasional.
Pembentangan beliau itu mengetengahkan kejayaan UPSI dalam
melaksanakan pendekatan holistik bagi memenuhi keperluan industri ketika
melalui inovasi pendidikan dan pendigitalan kurikulum.
Selain menandatangani LoI, delegasi UPSI turut mengadakan lawatan ke beberapa institusi pendidikan lain di China untuk meneroka potensi kerjasama baharu, termasuk inisiatif penyelidikan bersama dan pembangunan modal insan.
Menurutnya, kerjasama melalui LoI itu bukan sahaja membuka peluang kepada UPSI untuk terus maju dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional, tetapi juga memperkukuh hubungan antarabangsa universiti bagi manfaat global.
Prof Suriani dan Presiden NJUIT, Prof Dr Xie Yonghua menunjukkan dokumen LOl yang ditandatangani bersama sambil disaksikan Dr Jason Wong.
2024 World Vocational and Technical Education Development Conference, katanya, berjaya merumuskan beberapa cadangan penting untuk masa depan pendidikan teknikal dan vokasional, termasuk pengadaptasian teknologi terkini, pengukuhan jaringan global dan pembangunan tenaga pengajar yang lebih kompeten.
Prof Suriani berkata, dengan penyertaan itu, UPSI terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan unggul yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan vokasional dan teknikal pada peringkat antarabangsa.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Unit Data dan Perancangan Strategik), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), Ts Dr Jason Wong Yoke Seng. - KitaReporters