Kampus & Pendidikan 10 Nov, 2023

Tahniah Lim Yong Xin! OKU penglihatan peroleh ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama! Syabas QIU!

@rahana dahari
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this


Lim Yong Xin, 23, berjaya memperoleh ijazah kepujian kelas pertama peringkat Ijazah Sarjana Muda Psikologi walaupun mengalami kecacatan penglihatan dan berdiri megah bersama- sama 2,500 graduan lain yang diraikan pada majlis Konvokesyen ke-7 Quest International University (QIU) yang berlangsung pada pertengahan Oktober lalu.

Kisah kejayaan Lim Yong Xin telah memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain meskipun akibat kekurangan tersebut beliau meluangkan lebih banyak masa untuk belajar, terutama apabila berurusan dengan bahan pembelajaran visual atau tulisan tangan.

“Saya didiagnos dengan masalah glaukoma ketika berumur enam tahun namun memiliki impian berjaya seperti pelajar lain. Bagaimanapun tidak pernah menyangka akan memperolehi pencapaian kelas pertama. 

“Sepanjang sesi kuliah di QIU saya bergantung pada alat bantuan seperti alat bantu visual elektronik, bahan bacaan elektronik dan perisian NVDA yang membantu orang cacat penglihatan untuk membaca ‘desktop’ untuk kajian harian.

“Sudah tentu kejayaan ini adalah hasil sokongan keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan universiti sepanjang tempoh pengajian di QIU malah membenarkan saya mengambil peperiksaan dalam talian, menyediakan kertas peperiksaan yang digandakan saiznya. 

"Sokongan tersebut mengurangkan tekanan pengajian malah kejayaan ini mendorong saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana,” ujarnya. 


Lim Yong Xin, beroleh ijazah kepujian kelas pertama peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Psikologi walapun cacat penglihatan.


QIU adalah universiti komprehensif yang ditubuhkan pada tahun 2011 dan yang merupakan perkongsian Kumpulan QI. Mereka turut meraikan kejayaan dua kakitangan apabila berjaya menamatkan ijazah dalam  Sarjana Pertadbiran dan Peniagaan.

Srikanth K Thyagarajan dari bahagian pemasaran Kumpulan QI memberitahu, tugasannya saban hari menuntut  lebih banyak masa di luar, namun beliau berazam untuk berjaya.

“Hakikatnya sukar membahagikan masa antara tugasan dan pengajian tetapi saya mempunyai azam yang kuat untuk berjaya, jadi saya belajar bersungguh-sungguh dan perlu bijak membahagikan masa. 

“Tambahan pula subsidi yang ditawarkan pihak universiti untuk kakitangan sangat menarik. Hasil gabungan kuliah di kelas dan pilihan pembelajaran dalam talian dan jarak jauh memberi peluang saya menyesuaikan diri. Saya berterima kasih kepada Profesor Padmashatini yang merupakan mentor dan pembimbing di QIU,” ujarnya.

Begitu juga dengan Johny Nagarethenam yang tidak melepaskan mengikuti kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan kerana tertarik dengan persekitaran yang saling menyokong.

“Cita-cita untuk melanjutkan pengajian sudah lama dan apabila mengetahui QIU menawarkan kursus yang saya cari, peluang tidak dilepaskan begitu sahaja. 

"Tambahan pula ahli fakulti, terutama Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran, Profesor Madya Dr. Jeffrey Yee Khong Loong; Profesor Dr. Loke Siew-Phaik; dan Dr. Ainon Jauhariah Abu Samah memainkan peranan penting dan membantu saya menampatkan pengajian dengan jayanya,” ujarnya.


Johny Nagarethenam, kakitangan tetap yang menyambung pengajian di QIU untuk menambah ilmu.


Seorang graduan daripada Fakulti Farmasi, Leo Shann Ling menerima hadiah akademik tertinggi QIU - Anugerah Dato’ Seri Vijay Eswaran 2023, atas prestasi cemerlang, bakat dalam kepimpinan dan mempunyai empati terhadap  masyarakat yang  tidak tertanding oleh rakan sekelasnya. 

Majlis konvokesyen diketuai Pengerusinya, Dato’ Seri Vijay Eswaran dan Canselor QIU, Tun Arifin Zakaria. 

Para graduan menerima diploma, ijazah sarjana, dan ijazah pascasarjana menerusi enam fakulti termasuk Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Fakulti Komputer dan Kejuruteraan, Fakulti Sains Hayat Bersepadu, Fakulti Sains Sosial, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, serta Fakulti Farmasi.

Dr Vijay berkata, majlis tersebut sebagai penanda aras kejayaan kepada graduan yang telah bertahun-tahun bekerja keras menimba ilmu dengan segala cabaran yang mampu ditangani dengan baik.

“Ketika mereka melangkah dari kampus ke dunia realiti, cabaran sebenar sedang menunggu dan mereka perlu menggalasnya berserta tanggungjawab kerana situasi di luar sering mengalami perubahan.  

"Kejayaan yang dikecapi bukan hanya menyokong  kemampuan mereka  menyesuaikan diri tetapi mengeksploitasi potensi diri agar berkembang menjadi modal insan kepada bangsa dan negara,” ujarnya.


Sebahagian graduan melontar topi sebagai meraikan kejayaan masing-masing di majlis Konvokesyen QIU kali ke_7 di Ipoh baru-baru ini.


Sementara itu Canselor QIU, Arifin Zakaria berkata, para graduan merupakan aset kebanggaan kepada QIU yang turut berkongsi kegembiraan dengan seluruh warga universiti pada hari yang sangat bermakna itu.

“Para graduan adalah duta QIU ke dunia luar dan menjadi pewaris kepada kami yang sentiasa mengharapkan mereka mempunyai impian yang tinggi, berjaya mencapai kejayaan yang besar dan saya yakin mereka mampu melakukan.

“QIU akan sentiasa ada dengan tangan terbuka dan pada bila bila masa menjadi rujukan untuk membantu karier mereka untuk terbang lebih tinggi. Jika suatu hari mereka tersadung dan jatuh, bangunlah semula dengan lebih sukses. 

"Sentiasalah ingat, kami adalah keluarga besar kalian dan hakikat itu tidak pernah berubah,” katanya. - KitaReporters

17
9
0
8
0
You will be interested