SELARI zaman digital yang serba canggih hari ini, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan diluncurkan dengan tujuan melahirkan murid Malaysia Madani fasih digital yang berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal demikian diyakini boleh menoktahi kemiskinan digital murid selain mewujudkan ekosistem digital yang canggih dalam membina murid kreatif dan berdaya saing.
“Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital,” katanya semasa membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 11 September 2023 di Dewan Rakyat.
Atas dasar itu, beliau berkata, sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 Tahun (K9) dan Sekolah Komprehensif 11 Tahun (K11) akan diperbanyak.
Ia bertujuan memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan pribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan.
Bukan sekadar itu, inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas.
“Kerajaan juga cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan dan dalam usaha tangani permasalahan berkenaan ia boleh ‘diselesaikan’ melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu," tambahnya.
Anwar juga berkata, kerajaan Perpaduan pimpinannya sentiasa komited dalam memastikan Bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan, dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di samping mempertingkat penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun seperti ditetapkan dalam gagasan Malaysia Madani.
Malah, pendidikan Tingkatan Enam akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti.
“Kita juga beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan bakat tersedia masa hadapan.
“Pendidikan karakter yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenal melalui pendekatan sistemik dan holistik,” katanya lagi.
Justeru beliau menaruh harapan supaya pendidikan dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.
Semoga dasar yang diperkenal ini mampu memberi manfaat kepada anak-anak sekali gus mempu menjadi generasi yang hebat untuk Malaysia Madani.
Terima Kasih kerajaan Madani, semoga usaha ini membuahkan hasil demi negara yang tercinta. - KitaReporters