Kampus & Pendidikan 11 Oct, 2021

27 pelajar Arau terima surat tawaran pengajian di UUM! Majlis turun padang santuni anak Perlis!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (dua dari kanan) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyerahkan surat tawaran pengajian di UUM.


SERAMAI 27 pelajar baharu telah menerima surat tawaran kemasukan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Sesi Akademik 2021/2022 pada program UUM Prihatin Santuni Mahasiswa Anak Perlis di Dewan Serbaguna Kubang Gajah, Arau pada 9 Oktober 2021 lalu.

Penyerahan surat tawaran itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Dr. Shahidan dalam ucapannya berkata, anak muda mampu mengukir kejayaan sekiranya menetapkan matlamat dalam hidup misalnya mendapat kelas pertama.    


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UUM

Dr. Shahidan Kassim.


“Tahniah kepada anak-anak di sini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke UUM dan saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan di atas usaha murni UUM turun padang yang merupakan suatu tindakan yang cukup hebat dalam memberi contoh yang baik.

“UUM turun ke padang sesuatu yang cukup luar biasa, berjumpa ibu bapa dan pelajar jarang dilakukan, mereka ada tenaga yang hebat dan kalau semua universiti melakukan hal seumpama ini boleh menyelesaikan banyak masalah,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu zaman persekolahan yang melalui zaman yang cukup memeritkan sehingga terpaksa menjual kerbau semata-mata untuk masuk ke Tingkatan Enam, seterusnya menjual tanah untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.     


Dr. Shahidan Kassim (tengah) menghadiri majlis penyerahan surat tawaran kepada pelajar di Parlimen  Arau, Perlis yang akan melanjutkan pengajian di UUM.


Menurutnya, kehidupan berubah melalui pendidikan dan keluarga berubah menjadi lebih baik walaupun seorang anak masuk universiti. 

Katanya, pendidikan sebahagian daripada kehidupan, justeru berjuanglah untuk pendidikan kerana itulah perjuangan untuk mengubah kehidupan. 

Sementara itu, Prof. Dr. Haim Hilman melahirkan rasa bangga kerana dapat menyantuni masyarakat dengan turun padang meraikan pelajar baharu. 

“Sekiranya pelajar memberi komitmen terbaik dan mendapat kelas pertama dalam pelajaran, maka yuran pengajian akan ditukar menjadi biasiswa. Jadi belajarlah bersungguh-sungguh agar pinjaman yang diambil boleh menjadi biasiswa dan pada masa yang sama kita juga menyediakan biasiswa daripada badan korporat.  


Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

“Selain itu, di UUM terdapat 260 persatuan, jadi ambillah peluang untuk mengasah kebolehan diri bukan sahaja ilmu yang tinggi malah tinggi nilai budi pekerti luhur,” katanya.

Tambah beliau, UUM akan meneruskan misi turun kepada masyarakat dengan pelbagai program dalam menyantuni dan mendepani realiti kehidupan sebenar masyarakat.

Menurutnya, beliau mahu anak bangsa tahu bagaimana berinteraksi dengan masyarakat agar mereka tidak kekok apabila diangkat menjadi pemimpin masyarakat mahupun pemimpin industri selain pandai membawa diri dalam usaha menabur budi dan bakti.

Pelajar Sarjana Muda Sains Ekonomi, Purani a/p Gunalan (gambar bawah) berkata, kejayaan ini memberi kepuasan buat dirinya kerana penat lelahnya menuntut ilmu terbayar dan telah membuahkan hasil apatah lagi UUM merupakan universiti pilihan utama.

“Saya banyak mengkaji berkaitan bidang pengajian di UUM dan tidak sabar rasanya untuk masuk kampus yang dilengkapi infrastruktur dan landskap hijau yang cantik, pensyarah terbaik, dan sarat dengan pelbagai aktiviti,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar ekonomi. - KitaReporters


9
14
0
17
0
You will be interested