Kampus & Pendidikan 01 Sep, 2025

Tahniah anak muda TVET Malaysia! Raih 13 emas! Hadiah kemerdekaan pada Worldskills ASEAN Manila!

Share this

Tahniah dan syabas kepada anak muda TVET Malaysia yang telah berjaya melakar sejarah dan menghadiahkan pencapaian gemilang pada acara Worldskills ASEAN Manila 2025 apabila meraih 13 emas, 4 perak, 3 gangsa dan 2 Medallion Excellence Award menjelang Hari Kemerdekaan negara ke-68. 


11 buah negara yang turut serta dalam Worldskills ASEAN Manila.


Tim yang menang bersama hadiah masing-masing.

Kejayaan ini lebih bermakna kerana diraikan sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan menjelangnya Hari Malaysia 16 September.

Hadiah terbaik daripada anak muda TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Malaysia buat tanah air tercinta membuktikan bahawa semangat, bakat dan ketekunan mereka mampu menjulang nama bangsa ke mercu dunia.

13 pingat emas yang berjaya dibawa pulang itu merupakan satu pencapaian luar biasa dan tahniah kepada seluruh kontinjen serta jurulatih atas usaha, pengorbanan dan semangat juang demi negara tercinta setelah Malaysia muncul juara keseluruhan Worldskills ASEAN Manila 2025.

Malaysia berdiri gah di Pusat Dagangan Dunia Manila, Filipina mulai 21 Ogos hingga 30 Ogos yang melibatkan 11 negara dengan 32 bidang merangkumi 6 sektor utama.


Tim Malaysia bersama pesaing sebelum berjaya memenangi pingat emas di Manila.

13 pingat emas yang telah berjaya dirangkul ialah 3D digital game arts oleh Kolej Claz'room, Petaling Jaya dan Teknologi Fesyen oleh Giat MARA Simpang Empat.

Manakala Taylor's Universiti dalam bidang bakeri, Sense Perfect International College dalam bidang terapi kecantikan dan Taylor's College dalam bidang masakan.

Sementara itu, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kemasik dalam bidang 'Haidressing' dan Institut Perindustrian Mara Jepun raih pingat emas dalam bidang elektronik.

Giat MARA Kepala Batas dalam bidang kimpalan dan Insitut Kemahiran MARA (IKM) Lumut pula dalam bidang pembuatan kabinet.

IKM Tan Sri Yahaya Ahmad turut meraih pingat emas bagi pembuatan kabinet dan UniKL MIIT turut mengungguli pingat emas dalam bidang 'Cyber ​​security' (team).

Kolej Vokasional Sungai Petani/Fulkrum Interactive Media Sdn Bhd meraih pingat emas dalam bidang 'Web Technologies' dan Kolej Vokasional Kajang dalam bidang 'Automobile Technology'.


Tim negara meraikan kemenangan pelbagai kategori yang mereka juarai.

4 Pingat Perak turut dirangkul oleh Adtec, JTM Kampus Shah Alam, IKBN Wakaf Tapai, Universiti Pengurusan & Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT) dan Universiti Teknikal Makaysia (UTeM), Melaka.

3 Pingat Gangsa pula berjaya diraih oleh Kolej Claz'room, Petaling Jaya, IKM Johor Baharu dan Kolej Vokasional Butterworth.

Untuk pingat 'medallion for excellence' pula dijuarai oleh hanya 2 institusi iaitu Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua dan Politeknik Kuching, Sarawak.

Kejayaan ini adalah bukti bahawa generasi muda khususnya dalam bidang TVET bukan sahaja mempunyai kemahiran luar biasa, tetapi juga daya juang dan keyakinan diri untuk berdiri sebaris dengan yang terbaik di rantau Asia Tenggara ini. - KitaReporters


Tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya menempa kejayaan dengan pencapaian yang mengharumkan nama negara di Worldskill ASEAN Manila 2025.

Tim Malaysia bergambar beramai-ramai selepas meraih kemenangan yang gemilang di Manila, Filipina.

15
11
0
11
0
You will be interested