Kampus & Pendidikan 22 Jun, 2025

Ikon terbaharu UKM! Hab Teknovasi UKM-MTDC! Nak lahirkan pelajar yang job creator bukan job seeker!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Mohammad Yusof Apdal (tiga dari kanan) meletak tapak tangan di atas skrin sebagai simbolik perasmian Hab Teknovasi UKM-MTDC.


HAB Teknovasi UKM‑MTDC adalah sebuah pusat teknologi berdaya saing yang menyokong kerjasama antara UKM dan industri. Ia menawarkan ruang fleksibel, fasiliti lengkap, program latihan komersial dan ekosistem kondusif untuk mengembangkan teknologi kepada pasaran. 

MTDC merujuk kepada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia.

Hab ini memberi fokus kepada bidang seperti bioteknologi, sains makanan, ICT, pembuatan industri maju dan sains hayat. Ia bukan sekadar makmal tapi pusat ilham, penciptaan dan hab masa depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) , Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata penubuhan hab itu satu langkah permulaan dalam membina ekosistem pembangunan inovasi yang mantap.

Beliau berkata, ia bukan hanya dilengkapi peralatan teknikal seperti mesin Kawalan Berangka Komputer (CNC), pencetak 3D dan pemotong laser, tetapi ruang kerja, idea dan lokasi santai bagi merangsang kreativiti dan daya cipta pelajar.


Mariamah Daud (dua dari kanan) menyerahkan replika cek RM210,000 kepada Yeow Wah Chin (dua dari kiri) sebagai sokongan kepada penubuhan Hab Teknovasi UKM-MTDC.


"Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan universiti menyemai budaya inovasi dalam kalangan pelajar, sejajar usaha kerajaan membina masyarakat berasaskan pengetahuan dan teknologi.

"MOSTI komited memacu agenda Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta Inovasi dan Pengkomersialan. Justeru, penubuhan hab ini bertepatan untuk menyokong Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

"Matlamat utamanya menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030. Ia disokong pemerkasaan bakat tempatan; penyelidikan dan pembangunan (R&D); dan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)," katanya ketika merasmikan Hab Teknovasi UKM-MTDC di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Yeow Wah Chin; Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Strategi Korporat Kumpulan MTDC, Mariamah Daud; Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab. Rahman; dan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) atau (UKM-CESMED), Prof Madya Dr Muhamad Azry Khoiry.


Mohammad Yusof Apdal melawat ruang pameran Hab Teknovasi UKM-MTDC yang menjadi ikon terbaharu UKM.


Katanya, pembangunan bakat perlu bermula seawal mungkin bagi memupuk minat remaja ke arah teknologi dan inovasi. Inisiatif UKM menyediakan ekosistem STI melalui fasiliti Hab Teknovasi UKM-MTDC membantu bakat muda dalam bidang STI.

"Jaringan kolaborasi bersama MTDC perlu diteruskan bagi membantu mempercepat transformasi pelajar menjadi pencipta pekerjaan (job creator), bukan hanya job seeker.

"Saya yakin dengan ekosistem mantap dan kolaborasi strategik, hab ini mampu menghasilkan pelajar bukan hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta dan pengeluar penyelesaian berimpak tinggi kepada industri dan masyarakat," katanya.


Tetamu yang hadir di perasmian Hab Teknovasi UKM-MTDC bergambar bersama Mohammad Yusof Apdal


MOSTI dan agensi seperti MTDC, Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) serta institusi kewangan, katanya menyediakan pelbagai dana dan pembiayaan untuk menyokong idea inovasi dan pengkomersialan produk.

"Dana RM210,000 disumbangkan oleh MTDC dan RM110,000 oleh FKAB untuk pembangunan hab ini harus dimanfaatkan secara berhemah demi kelangsungan program inovasi yang berimpak tinggi," katanya

Sementara itu, Yeow Wah Chin, berkata Hab Teknovasi itu bukan sekadar pencapaian fizikal tetapi simbol komitmen UKM menyemai budaya inovasi dalam kalangan mahasiswa selain memacu peranan universiti sebagai penggerak ekosistem teknologi dan keusahawanan negara.

Beliau berkata, sempena penubuhan Hab Teknovasi itu, UKM-CESMED akan melaksanakan program Deep Tech @ UKM, iaitu satu inisiatif pembangunan inovasi selama enam bulan bagi meningkat inovasi pelajar dari peringkat idea ke prototaip, sehingga kepada realiti perniagaan berimpak tinggi.


Hab Teknovasi UKM-MTDC langkah permulaan dalam membina ekosistem pembangunan inovasi yang mantap.


"Program itu bakal menghimpunkan kepakaran akademik dan industri dalam ekosistem inovasi bersepadu merangkumi pembangunan idea, pemantapan model perniagaan serta peluang pembiayaan. Ia juga mampu membina legasi usahawan teknologi," katanya 

"UKM serius dalam melahirkan bakat teknologi, bukan sekadar bersaing, tetapi menjadi peneraju dalam bidang-bidang strategik masa depan seperti kecerdasan buatan dan robotik," katanya.

Dalam perkembangan sama, beberapa aktiviti diadakan sempena perasmian hab itu, antaranya sesi Bicara CEO, pameran inovasi, serta panel juri Pertandingan Akhir Bicara Tuntas bagi kursus Asas Keusahawanan dan Inovasi kepada mahasiswa UKM.

MTDC juga menaja kupon RM2,000 kepada 200 pelajar yang hadir pada sesi tersebut untuk digunakan di gerai jualan pelajar dan komuniti. - KitaReporters

25
18
0
9
0
You will be interested