Kampus & Pendidikan 17 Nov, 2023

UMT anjur Anugerah Ikon Siswa! Iktiraf kecemerlangan bakat mahasiswa! Agenda pemerkasaan mahasiswa!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

 

Pemenang-pemenang anugerah diraikan oleh pengurusan Universiti Malaysia Terengganu


UNIVERSITI  Malaysia Terengganu (UMT) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menganjurkan Anugerah Ikon Siswa (AIS) 2023 bagi mengiktiraf kecemerlangan bakat mahasiswa UMT.

Acara yang penuh gemilang itu menampilkan 17 anugerah dalam pelbagai kategori. Ia tidak termasuk dua anugerah utama, iaitu Anugerah Tokoh Siswa UMT dan Anugerah Bingkas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Profesor Dr. Azlinda Azman ketika merasmikan program itu berkata, bakat-bakat muda yang berada di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menjadi taruhan utama serta sebagai nakhoda negara pada masa hadapan.

Katanya, KPT memandang serius mengenai pembangunan bakat dalam kalangan mahasiswa. 

Justeru,Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah memperkenal agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang bertujuan mengupayakan bakat dan potensi mahasiswa melalui lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan.


Munirah Mansor (kanan) bersama Nur Izzati Yusri menunjukkan hadiah yang dimenangi


Pada majlis berprestij tersebut, Munirah Mansor, 23, pelajar Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian telah dinobatkan sebagai Ikon Siswa UMT tahun 2023.

Kecemerlangan anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini bukan sahaja dalam bidang akademik malah turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

Pernah menganjurkan 14 program sepanjang mengetuai Kelab Sekretariat Anak Johor (SOHOR) yang mana terdiri daripada program keusahawanan, kepimpinan, sukarelawan, kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.

Program pimpinan Munirah telah membuka ruang kepada pelaksanaan pemindahan ilmu yang dibantu oleh Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri dan Masyarakat, UMT yang mana ia telah membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat. 

Anugerah Bingkas Timbalan Naib Cancelor HEPA UMT pula disandang oleh Nur Izzati Yusri, 22, pelajar tahun tiga, Sarjana muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim).

Dia mula bergiat aktif dalam persatuan sejak tahun pertama serta memegang jawatan sebagai Bendahari Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK). Dia turut menjadi Pengarah Program ‘Colors of Korea: Students Council Autumn Delegation’.

Di bawah kepimpinannya, program ini berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM19,827 daripada pelbagai program yang dianjurkan dan sumbangan luar. 

Program ‘Colors of Korea: Students Council Autumn Delegation’ melibatkan perbincangan ilmiah dengan 3 buah universiti di Korea dan melaksanakan kerja-kerja sukarelawan bersama komuniti Seoul Central Mosque. 


Dr Azlinda Azman menyampaikan anugerah kepada Munirah (knan)


Menurut Profesor Dr. Azlinda Azman, pemerkasaan mahasiswa bukan sekadar berlegar dalam konteks kebebasan berpolitik, tetapi bagaimana mahasiswa mampu menjadi graduan yang holistik dan warganegara yang baik melalui penguasaan ilmu, nilai dan kemahiran.

Ujarnya, kecemerlangan mahasiswa wajar diiktiraf bukan sahaja sebagai tanda penghargaan universiti kepada mereka, tetapi motivasi dan galakan untuk mahasiswa terus cemerlang dan memahat kegemilangan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, AIS memberi sanjungan kepada bakat cemerlang yang telah dipamerkan oleh mahasiswa UMT sepanjang 2022 dan 2023.

Calon-calon yang berjaya ke peringkat akhir merupakan mereka yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam aktiviti kemahasiswaan pelbagai kategori seperti kepemimpinan, akademik, kesukarelawanan, pengucapan awam, intelek, budaya dan sukan. Pemenang AIS yang berjaya akan mewakili UMT ke Anugerah Tokoh Siswa (ATS) pada peringkat KPT.

Menurutnya,, calon-calon untuk AIS 2023 merupakan graduan yang holistik. Mereka terdiri daripada mahasiswa yang memperolehi CGPA 3.0 dan ke atas, serta mempunyai keperibadian dan sahsiah diri yang tinggi. 

Mohd Izani berharap agar semua pemenang akan terus mengekalkan rentak kecemerlangan dan komitmen sekaligus mendukung usaha kerajaan menjayakan agenda Malaysia Madani.


DR Mazlan Abd Ghaffar ( tiga dri kiri) beramah mesra dengan pemenang anugerah


Majlis ini turut diserikan dengan beberapa pelancaran antaranya Kanvas Siswa Madani@UMT, iaitu program berimpak tinggi daripada mahasiswa untuk komuniti.

Kanvas menampilkan sembilan program berjenama yang berlangsung bermula November 2023 hingga Februari 2024. Salah satu program yang menarik adalah Konservasi Hijau Gelam di Setiu, iaitu projek penanaman pokok gelam yang boleh membantu menjana pendapatan komuniti setempat.

Turut diadakan ialah pelancaran buku “Membingkas Prakarsa ke Arah Pemerkasaan Mahasiswa” dan pelancaran HEPA Rangers yang memanfaatkan pempengaruh dalam kalangan mahasiswa UMT bagi mempromosi perkhidmatan HEPA serta UMT dan aktiviti pemerkasaan mahasiswa.

Untuk rekod, antara anugerah yang diperkenalkan dalam majlis ini adalah Anugerah Kepimpinan Kebudayaan, Anugerah Kepimpinan Keusahawanan, Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam, Anugerah Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan banyak lagi bagi mengangkat dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa UMT.

Majlis berprestij ini yang diadakan pada 14 November 2023 di Dewan Sultan Mizan, UMT turut dihadiri Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar; pegawai-pegawai Utama UMT; wakil-wakil Industri serta wakil-wakil komuniti. - KitaReporters

 

10
7
0
9
0
You will be interested