KESALAHAN sangat kecil, hanya tidak memakai anak tudung ketika hadir ke sekolah tetapi terpaksa menerima hukuman berat apabila seorang guru di sebuah sekolah di Indonesia bertindak ‘ganas’ dan melampau.
Kesannya kira-kira 14 pelajar di Sekolah Menengah Pertama Negeri (SMPN) 1 di bandar Lamongan, Jawa Timur, Indonesia itu dicukur rambut oleh seorang guru, petik portal Wion News.
Terdahulu, pelajar-pelajar berkenaan telah dinasihati supaya memakai anak tudung supaya kelihatan kemas.
Namun kebanyakan pelajar yang memakai tudung enggan memakai anak tudung, keadaan itu menyebabkan seorang guru berang sebelum bertindak dengan alasan untuk memberi pengajaran.
Sementara itu pengetua sekolah berkenaan yang hanya dikenali Harto berkata, tiada peraturan yang menetapkan pelajar sekolah di negara supaya memakai anak tudung tetapi ia digalakkan supaya kelihatan kemas.
Guru berkenaan kemudian telah membuat permohonan maaf tetapi disebabkan perkara itu dianggap serius guru berkenaan telah digantung kerja.
Susulan kejadian itu, pihak sekolah telah mengadakan perbincangan dengan ibu bapa dan waris pelajar terlibat serta mencapai persetujuan bersama.
Malah, kejadian itu turut mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia tempatan dan menyifatkan tindakan guru berkenaan adalah menyalahi undang-undang
Penyelidik kumpulan hak asasi manusia, Andreas Harsono berkata, jabatan pendidikan di Lamongan wajar mengenakan tindakan tegas terhadap guru berkenaan. - KitaReporters